Langkah BAM ketengah bakat muda wanita tepat

MISBUN
MISBUN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah serta-merta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ‘menaikkan pangkat’ lima pemain muda ke pasukan senior perseorangan wanita negara adalah keputusan yang tepat pada waktunya.

Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek berkata, tindakan sedemikian menunjukkan persatuan itu memahami kekurangan pemain muda dalam skuad senior yang perlu diketengahkan bakat mereka untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Misbun berkata, pasukan kejurulatihan sememangnya sudah menyiapkan pemain di bawah bimbingan mereka untuk diserap ke dalam pasukan senior seterusnya dapat merasai aksi yang lebih kompetitif.

”Terima kasih BAM kerana memahami situasi yang mana sudah tiba masanya mereka beralih tempat ke pasukan senior.

”Apa yang kita (pasukan kejurulatihan) buat sekarang ini ialah sentiasa salurkan pemain berbakat ini untuk tingkatkan kerjaya mereka di peringkat lebih atas,” katanya dalam rakaman audio dikongsi kepada media pada Sabtu.

Khamis lepas, BAM mengambil keputusan menyerap lima pemain ke dalam pasukan senior kebangsaan iaitu pemain skuad Piala Uber 2020, Siti Nurshuhaini Azman, 17, diikuti Joanne Ng, Tan Zhing Yi, Khor Jing Wen dan Loh Zhi Wei dengan kesemuanya berusia 18 tahun.

Susulan penambahan lima pemain itu, skuad perseorangan wanita negara kini mempunyai sembilan pemain.

Pada masa ini, skuad berkenaan diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, S. Kisona, diikuti Eoon Qi Xuan, Myisha Mohd Khairul dan K Letshanaa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, legenda badminton tanah air berusia 61 tahun itu turut menghargai peranan barisan jurulatihnya yang berjaya mempersiapkan Siti Nurshuhaini dengan sebaik mungkin selain memastikannya bebas daripada sebarang kecederaan hingga pemain muda itu disenaraikan menyertai skuad Piala Uber negara di Aarhus, Denmark.

Beliau menyifatkan penganjuran playoff badminton Ranking Dalaman Remaja BAM serta pemilihan untuk ke Piala Thomas baru-baru ini adalah platform bagi mendidik barisan jurulatih sedia ada kepada tahap tertinggi dalam usaha membantu pemain meningkatkan prestasi permainan mereka.- Bernama