Wartawan Filipina, Rusia terima Hadiah Nobel Keamanan 2021

Muratov (kiri) dan Ressa lantang mengkritik pemimpin di negara masing-masing. - Foto: Agensi
Muratov (kiri) dan Ressa lantang mengkritik pemimpin di negara masing-masing. - Foto: Agensi
A
A
A

OSLO - Wartawan Filipina, Maria Ressa dan rakan seperjuangannya, Dmitry Muratov dari Rusia yang menjadi pengkritik lantang pemimpin di negara masing-masing dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan 2021 pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway, Berit Reiss-Andersen berkata, pengiktirafan itu diberikan atas keberanian mereka berjuang untuk kebebasan bersuara.

“Pada masa yang sama, duo itu mewakili petugas media di seluruh dunia,” ujarnya.

Muratov yang juga seorang editor dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah itu didedikasikan kepada enam wartawan akhbar Novaya Gateza yang dibunuh kerana mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia dan skandal rasuah.

Sementara itu, Ressa menyifatkan penghargaan itu juga adalah untuk para wartawan di seluruh dunia.

“Tugas wartawan semakin mencabar pada hari ini,” ujar wartawan veteran itu yang turut berdepan kes mahkamah berhubung beberapa pendedahan laman berita digital Rappler yang diasaskan olehnya.

Difahamkan, Hadiah Nobel Keamanan itu adalah yang pertama diberikan kepada wartawan sejak Carl von Ossietzky menerima pengiktirafan itu kerana berani mendedahkan program rahsia persenjataan semula pasca perang di Jerman pada 1935. - Agensi

Artikel Berkaitan: