Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak perlu diwujudkan

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parlimen perlu meluluskan undang-undang bagi mewujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas dengan dana mencukupi untuk melaksanakan tugas serta peranan suruhanjaya itu bagi memastikan golongan tersebut mendapat perlindungan sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu antara isu utama dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan pada Khamis lepas.

“Wakil-Wakil NGO berkongsi pandangan mereka mengenai hal-hal berkaitan dengan peranan Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Mahkamah Kanak-Kanak dan peranan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Yayasan CRIB (Inovasi dan Kebajikan Hak Kanak-Kanak).

Turut hadir wakil Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM), Pusat Wanita Untuk Perubahan (WCC) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) manakala Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hadir sebagai jemputan khas.

Mesyuarat itu turut membincangkan keperluan pembangunan kapasiti pihak berkepentingan yang relevan untuk meningkatkan kecekapan prosedur termasuk dalam pengelolaan bantuan kecemasan, penguatkuasaan polis dan bantuan guaman.

Selain itu, isu utama yang dibangkitkan ialah meningkatkan koordinasi peringkat negeri dalam pengurusan keganasan rumah tangga.

Kenyataan itu juga menyebut sistem pengumpulan data di peringkat nasional yang telus untuk memantau dan menanggapi kes kekerasan terhadap wanita dan anak-anak perlu dikembangkan.

Artikel Berkaitan:

“Untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban agensi-agensi berkaitan, Suruhanjaya Kanak-Kanak dan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga diminta untuk menerbitkan laporan tahunan yang boleh diakses oleh masyarakat umum,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa tersebut mengadakan sesi libat urus dengan NGO terbabit untuk melindungi dan memelihara kebajikan serta kepentingan terbaik wanita dan kanak-kanak. -Bernama