Industri sukan mampu jana pendapatan diri

Ismail Sabri (tengah) melancarkan HSN 2021 sambil disaksikan Ahmad Faizal (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) melancarkan HSN 2021 sambil disaksikan Ahmad Faizal (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kini sedang fokus dalam menggalakkan orang ramai untuk menceburkan diri dalam industri sukan yang diyakini mampu memberi masa depan cerah kepada mereka.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha yang turut disambut baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan diri serta merancakkan pembangunan ekonomi negara.

"Dalam aspek sukan, saya sentiasa sarankan (kepada) atlet ternama sekarang adalah masa sesuai ‘monetize’ dengan satu jenama yang boleh bawa keuntungan kepada diri mereka dan sukan yang mereka wakili.

"Malah saya juga mahu mendorong bekas atlet serta golongan belia yang masih menganggur agar turut serta terlibat dalam bidang perniagaan di dalam industri sukan yang sebenarnya berpotensi untuk berkembang dan seterusnya dapat menjamin kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Putrajaya pada Sabtu.

Beliau pada masa sama percaya kebajikan para atlet termasuk bekas atlet mampu terbela sekiranya industri sukan dapat menjana pendapatan besar buat negara di masa depan.

Ismail Sabri dalam ucapan pelancaran bersempena HSN 202, memaklumkan KBS sedang menggubal Pelan Tindakan Industri Sukan Negara, yang bersifat komprehensif dan kompetitif bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara seiring perkembangan di peringkat global.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal telah berbincang bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam usaha mencari jalan membantu 1,968 operator sukan memulakan semula perniagaan mereka setelah dilaporkan terjejas sejak 1 Jan tahun lepas akibat Covid-19.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar pakej bantuan kepada mereka dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2022 yang bakal dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pelancaran Program Talent Identification and Development (MyTID) oleh Ismail Sabri pada majlis sama, beliau berharap agar teknologi yang digunakan guru sekolah terlibat dapat membantu KBS meneroka bakat baharu sukan tanah air pada masa depan.

"Para guru sekolah di serata negara boleh laporkan kepada satu pangkalan data menerusi program ini tentang kebolehan anak murid mereka. Contohnya, jika pihak KBS nak dapatkan pelajar umur bawah 12 tahun yang boleh lari 100 meter dalam masa 12 saat, dengan satu klik kita boleh dapat dah,” tambahnya.

Turut dikenali Program MyTID KPM-KBS melalui kerjasama di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ia dijangka membantu memperluaskan penyertaan bakat baharu seawal usia tujuh tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat. - Bernama