Perbincangan Pulau Batu Puteh perlu libatkan Sultan, kerajaan Johor

Hassan (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penunggang p-hailing Foodfanda Di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang, Kota Puteri, Pasir Gudang pada Sabtu.
Hassan (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penunggang p-hailing Foodfanda Di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang, Kota Puteri, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Persekutuan perlu mendapatkan pandangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan melibatkan kerajaan Johor untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, ini kerana Sultan Johor serta kerajaan Johor adalah pemegang taruh terhadap pulau itu dan kerajaan Persekutuan tidak boleh menguruskan tuntutan tersebut secara bersendirian.

Beliau berkata, Kesultanan Johor mempunyai hak ke atas pulau tersebut dan proses tuntutan pulau itu di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini tidak melibatkan Sultan Johor atau kerajaan negeri.

"Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh berada dalam kawasan atau wilayah Johor, jadi sebarang perbincangan perlu melibatkan Sultan Johor dan kerajaan negeri. Pulau ini bukan dimiliki kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan boleh bertukar ganti. Siapapun yang menjadi kerajaan Persekutuan sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), namun perbincangan perlu melibatkan kerajaan Johor.

"Ini melibatkan wilayah dan kedaulatan Johor serta Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penunggang p-hailing, Foodfanda Di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang, Kota Puteri pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet setuju semak semula kes Pulau Batu Puteh

Pada Sabtu, Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa berhubung kes Pulau Batu Putih.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Menurutnya, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali

Mengulas lanjut, Hassan berkata, usaha kerajaan Malaysia mendapatkan semula pulau itu perlu dilakukan tanpa mengikut tempoh masa serta tidak sekali-kali berputus asa selagi ada ruang di peringkat antarabangsa untuk mendapatkannya.

Jelas beliau, tuntutan tersebut perlu dilakukan dalam apa juga cara termasuk membawa kes tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sama ada kalah atau menang itu menjadi perkiraan kedua.

"Pulau Batu Puteh sudah lama wujud, sebelum Singapura wujud lagi dan merupakan sebahagian daripada Johor sebelum diserahkan kepada pihak British. Jadi dari segi sejarahnya pun kita tahu logiknya, pulau ini milik Johor.

"Jika Malaysia kalah dalam tuntutan Pulau Batu Puteh, ini akan menjadi dorongan kepada kerajaan Singapura untuk membuat tuntutan yang sama terhadap Pulau Pisang di Pontian yang kini masih menjadi milik kita," katanya.

Hassan berkata, Singapura ketika ini mengendalikan rumah api di Pulau Pisang dan tidak mustahil kejayaan republik itu mendapatkan Pulau Batu Puteh akan memberi motivasi yang sama untuk merebut Pulau Pisang.

"Kita perlu ingat ini berkaitan kedaulatan negara, apabila mereka mendapat sesuatu pulau, bukan sahaja pulau itu milik mereka tetapi juga keseluruhan perairan di pulau tersebut," katanya.