Diarah pindah: Kenapa buat macam ni pada kami?

Medan Seera Jalan Semarak bakal diroboh seepas 40 tahun beroperasi
Medan Seera Jalan Semarak bakal diroboh seepas 40 tahun beroperasi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga di Medan Selera Jalan Semarak resah apabila mahkamah mengeluarkan perintah supaya mereka berpindah daripada lokasi berkenaan dalam masa terdekat.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu (PPPKMWP) Cawangan Datuk Keramat, Mohamad Tarmizi Mohamad Akil berkata, tindakan pemaju yang ingin menuntut semula tanah itu dilihat tidak wajar berikutan tiada sebarang perbincangan atau rundingan dilakukan bersama 37 penyewa gerai di sini.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga amat terkejut apabila pemaju terbabit bertindak untuk menampal notis arahan pengosongan premis berkenaan pada Isnin lalu tanpa sebarang pemakluman awal.

"37 peniaga di sini telah beroperasi sejak 40 tahun lalu dan bayangkan macam mana nasib mereka apabila diarahkan untuk keluar secara tiba-tiba tanpa sebarang rundingan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohamad Tarmizi berkata pemaju juga tidak memberikan sebarang pampasan mahu pun tapak cadangan lokasi perniagaan baharu buat peniaga yang diarahkan berpindah dari premis berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan peniaga merasa tersepit dan runsing berikutan pendapatan mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada operasi di medan selera terbabit.

Peniaga membantah tindakan pemaju yang tidak membuka sebarang pintu rundingan dalam isu itu
Peniaga membantah tindakan pemaju yang tidak membuka sebarang pintu rundingan dalam isu itu

"Tindakan ini agak tidak berperikemanusiaan dan seharusnya peniaga diberi tempoh untuk memikirkan tindakan selanjutnya yang dapat diambil selepas gerai ini diroboh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Yang Dipertua PPPKMWP Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, pemaju ingin mendapatkan semula tapak terbabit bagi melaksanakan pembinaan landskap dan taman di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, isu tersebut sewajarnya mendapat campur tangan daripada kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak.

"Kita tahu tanah ini milik pemaju, tapi takkan sikit pintu rundingan pun tak dapat dibuka untuk perbincangan?

"Sekiranya ada penduduk menetap di tanah haram, mereka akan mendapat pampasan atau unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) jika mendapat arahan untuk berpindah, tapi kenapa peniaga di sini tak boleh?" soalnya.

Tambah beliau, DBKL perlu memainkan peranan dalam isu ini dengan menjadi orang tengah bagi mengatur pertemuan antara pemaju dan peniaga untuk berunding tentang permasalahan ini.

"Peniaga memang tak akan keluar dari sini.

"Pemaju dan DBKL perlu berbincang lebih lanjut mengenai hal ini," katanya.