Rakyat Kedah dinasihat tidak rentas ke Perlis: Sanusi

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

LANGKAWI - Penduduk tinggal di sempadan Kedah-Perlis dinasihatkan tidak merentas negeri selagi tidak mendapatkan kebenaran pergerakan rentas negeri oleh kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan penduduk supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurutnya, penduduk yang melakukan rentas negeri tanpa kebenaran diminta menghentikan perbuatan mereka dalam usaha membendung penularan Covid-19 di dua negeri tersebut.

"Saya harap orang Kedah tidak lakukan aktiviti merentas negeri sehinggalah ia dibenarkan semula oleh kerajaan, tidak pasti sama ada melalui laluan tikus atau lain-lain disebabkan kita hanya mendapat maklumat daripada laporan akhbar.

"Bagaimanapun, saya harap kalau benar orang Kedah merentas ke Perlis, maka diharapkan tidak melakukannya lagi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Kedah, di Dataran Pantai Chenang, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Firdaus Ahmad.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham yang menyatakan kes Covid-19 di Perlis disebabkan rentas negeri secara haram.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut berharap rakyat Perlis tidak melakukan perkara sama dengan melakukan rentas negeri tanpa kebenaran ke Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu mereka dijangkiti di Kedah sebelum bawa pulang jangkitan ke Perlis pula, mungkin isu ini ada melibatkan dua hala dan kita harap rakyat Kedah tidak pergi lagi," katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap aktiviti rentas negeri secara haram dapat dihentikan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menjelaskan, pihak belum menerima laporan rasmi berhubung aktiviti rentas negeri secara haram daripada pihak berkuasa, sebaliknya hanya mengetahui melalui laporan media.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya memaklumkan terdapat lebih 200 aktiviti dianjurkan di seluruh negeri Kedah bersempena Hari Sukan Negara.

Beliau melahirkan harapan agar seluruh rakyat negeri Kedah dapat menyahut seruan kerajaan ini dengan menjadikan aktiviti sukan dan gaya hidup sihat sebagai amalan berterusan walaupun dalam keadaan normal baharu.