X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Pekerja pembersihan hotel miliki peralatan polis diberkas

Antara barangan yang dirampas di rumah suspek di Kampung Klang Gate Bharu di sini pada Khamis.
A
A

AMPANG - Seorang pekerja pembersihan sebuah hotel ditahan kerana disyaki memiliki peralatan polis di sebuah pangsapuri di Kampung Klang Gate Bharu di sini pada Khamis.

Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 7.26 malam.

"Hasil pemeriksaan lanjut dalam simpanan telefon suspek terdapat satu dokumen yang menyerupai kad kuasa polis," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut membuat pemeriksaan di dalam rumah suspek dan menjumpai peralatan polis iaitu seunit baju vest warna hijau tertera tulisan perkataan polis.

"Kita turut merampas sehelai baju butang polis lelaki serta sehelai seluar panjang polis warna biru gelap, satu unit lencana integriti amalan kita, satu 'collar badge', pelekat Polis Diraja Malaysia dan sebilah pedang samurai sepanjang 95 sentimeter," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 19 rekod lampau berkaitan jenayah samun, pecah rumah, menyamar polis dan dadah sejak 2000.

"Suspek telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia sembilan tahun (lelaki) dan anak perempuan berusia 11 tahun.

"Semasa tangkapan hanya suspek bersama anak lelaki berada di rumah manakala isterinya keluar bekerja," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin.

"Hasil saringan urin, suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis dapat menyelesaikan empat kes jenayah membabitkan satu kes di Ampang manakala tiga lagi di Gombak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!