KPDNHEP sita 1.12 tan metrik gula

Gula yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Ranau.
Gula yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Ranau.
A
A
A

TUARAN - Sepasukan Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tuaran menyita 1.12 metrik tan gula di sebuah premis di Ranau pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, gula yang dianggarkan bernilai RM3,192 disita selepas pemilik premis terbabit gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran untuk menjual bahan kawalan itu kepada pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng berkata, serbuan dibuat hasil daripada maklumat orang awam dan risikan pihaknya.

"Hasil risikan yang dijalankan selama dua hari membawa kepada serbuan dan pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 1.12 metrik tan gula pasir kasar dengan nilai anggaran keseluruhan RM3,192.

"Semasa pegawai menjalankan pemeriksaan, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan menjual barang kawalan kepada orang awam atau pengguna," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keterangan awal pemilik premis berkenaan turut direkodkan untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sebelum itu, Saripudin berkata, orang ramai diingatkan dan diberi amaran keras agar tidak mengambil kesempatan ketika dalam keadaan pandemik Covid-19 dengan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP turut mengingatkan supaya mana-mana pihak tidak menyorokkan barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menggunakan saluran aduan rasmi bagi menyalurkan aduan dan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan," katanya.