LPP optimis bantu tingkatkan produktiviti pengusaha PKS

Ahmad (tengah) melihat kaedah pemprosesan makanan sejuk beku Syarikat Nazla Enterprise pada Sabtu.
Ahmad (tengah) melihat kaedah pemprosesan makanan sejuk beku Syarikat Nazla Enterprise pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) optimis dalam membantu meningkatkan lagi produktiviti pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menerusi pelbagai usaha dan perancangan di masa hadapan.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, usaha itu juga adalah termasuk bimbingan kepada pengusaha selain pemberian pinjaman kewangan untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

“Sebenarnya banyak program yang kita telah laksana meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu. Antara yang sedang bergerak adalah Program Agri Perintis yang mana bertujuan melahirkan lebih banyak pelapis usahawan khususnya daripada golongan belia.

“Dari segi peruntukan, kita ada banyak bantuan yang boleh disalurkan antaranya menerusi geran Pakej Rangsangan Ekonomi, peruntukan Program Agri Perintis, dan pinjaman kewangan menerusi Tabung Pembangunan Usahawan Peladang (TPUP) kepada pengusaha yang mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Taman Industri Pasak di sini pada Sabtu.

Dalam lawatan kerja itu, Ahmad yang ditemani Azulita melawat tiga lokasi pengusaha yang mendapat bantuan LPP iaitu pusat memproses barangan sejuk beku, Nazla Enterprise di Taman Industri Pasak; Ladang Ternakan Kelulut Honey Fresh Agro Farm di Bandar Petra Jaya dan Pusat Penternakan Udang Kara di Taman Penggeli Kecil.

Azulita berkata, sehingga kini sebanyak RM200,000 peruntukan telah diagihkan kepada lebih 200 pengusaha PKS di seluruh negara sebagai bantuan kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Buat masa ini kita mempunyai rekod sebanyak 211 pertubuhan peladang sudah menerima peruntukan geran dan bantuan. Kita jangkakan angka ini akan meningkat dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Macam lawatan kita pada hari ini (Sabtu), kita dimaklumkan pengusaha barangan sejuk beku ini pada 2018 ada membuat pinjaman sebanyak RM80,000. Alhamdulillah selepas beberapa tahun tiada masalah malah dia juga mampu untuk membayar semula jumlah pinjaman itu,” katanya.

Pekerja Nazla Enterprise ketika menyiapkan kuih karipap yang merupakan salah satu produk dengan permintaan tinggi syarikat
Pekerja Nazla Enterprise ketika menyiapkan kuih karipap yang merupakan salah satu produk dengan permintaan tinggi syarikat

Sementara itu, pemilik Syarikat Nazla Enterprise, Mohamae Shazrin Haqim Isa berkata, hasil pinjaman TPUP itu telah banyak membantu mengembangkan perniagaannya terutama dalam meningkatkan lagi jumlah produktiviti jualan.

“Saya bersyukur menerima pinjaman ini kerana pada 2018, syarikat saya hanya mampu untuk menjana kira-kira 6,000 unit sahaja sehari kerana kita memang menggunakan cara manual sepenuhnya untuk proses pembuatan.

“Melalui pinjaman ini, saya telah membeli mesin untuk membantu meningkatkan produktiviti jualan dan kini kami boleh hasilkan sebanyak 9,000 unit sehari,” katanya.

Beliau berkata, dengan jumlah produktiviti yang lebih banyak, pihaknya juga berupaya untuk memperoleh keuntungan yang lebih sekali gus secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Memang waktu PKP kita berniaga agak perlahan, tetapi saya yakin tahun ini kita boleh bangkit semula. Bagaimanapun, memang hasrat saya untuk membantu semua.

“Selepas mempunyai mesin dan perniagaan kami mula berkembang, saya telah menambah tenaga kerja daripada seorang kepada lima orang, mungkin selepas ini akan bertambah lagi,” katanya.

Kata Mohamae Shazrin, pihaknya juga kini dalam perancangan untuk memohon satu lagi geran pembangunan perniagaan bersama LPP untuk memajukan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita memang ada permintaan di luar negara dan sebelum ini kita juga pernah eksport produk kita ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Jadi dengan permohonan (geran pembangunan) selepas ini saya berharap kami boleh terus maju.

“Insya-ALLAH jika tiada masalah, kami juga kini dalam perancangan untuk membuka tiga lagi cawangan baharu iaitu di Selangor, Kedah dan Johor Bahru,” katanya.