Lelaki kutip sewa rumah maut selepas bertengkar

Mangsa yang berang bertindak menetak cermin sebuah kereta. - Gambar/ Astro AWANI
Mangsa yang berang bertindak menetak cermin sebuah kereta. - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A

KANGAR - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki meninggal dunia dengan keadaan tangan terikat selepas terlibat dalam satu pergaduhan dipercayai berkaitan duit sewa rumah di Kampung Guar Sabun, Batu Pahat dekat sini, pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian pada 8.30 malam itu, pihaknya yang tiba di lokasi menemukan mayat Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, terlentang berhampiran pagar sebuah rumah dengan kesan kecederaan kecil pada dahi.

Katanya, susulan kejadian itu, empat lelaki berusia lingkungan 39 hingga 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Mangsa dipercayai datang ke sebuah rumah untuk mengutip sewa daripada seorang lelaki tetapi tidak dipedulikan sehingga tercetus pertengkaran antara mereka membabitkan penggunaan parang.

“Mangsa yang berang bertindak menetak cermin sebuah kereta dan turut mencederakan lelaki berkenaan sebelum pergaduhan dileraikan oleh beberapa penduduk yang kemudian bertindak mengikat tangan mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Menurut Wari, mangsa kemudiannya didapati sudah tidak bergerak dan disahkan telah meninggal dunia, manakala lelaki yang cedera akibat ditetak kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

"Mayat Kamarul Izahar telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: