Muafakat Nasional perlu rundingan konsisten: Nik Abduh

NIK MOHAMAD ABDUH
NIK MOHAMAD ABDUH
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta pihak yang bersama di bawah Muafakat Nasional (MN) supaya terus konsisten melakukan rundingan bagi memastikan perpaduan gabungan tersebut dapat dicapai.

Menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, rundingan berterusan merupakan kunci kepada perpaduan gabungan tersebut dan tindakan yang sebaliknya hanya akan memberi keuntungan kepada pihak musuh.

“Kunci perpaduan adalah berunding. Rundingan pula mesti berulang kali dan tiada had. Ia kerana perpaduan itu memerlukan pemupukan dan penjagaan yang berterusan. Musuh perpaduan sentiasa wujud, mengintai dan menyelinap dari sudut dan lorong yang terabai.

“Kegagalan kekerapan rundingan kerapnya adalah kerana perunding yang lemah karektor dan diplomasinya. Paling teruk, melihat menghentikan perundingan sebagai jalan terbaik. Ia kejayaan buat musuh. Matlamat dibakar dan keikhlasan membenih nifak.

“Begitulah nyawa Muafakat Nasional. Siapa yang merosakkan perundingan, dialah yang paling gagal dan harus dicela. Seruan saya, terus berunding. Ia tanda keikhlasan diri dan cinta umat,” katanya.

Status terkini gabungan Muafakat Nasional masih menjadi tanya tanya ekoran daripada keputusan bertentangan yang diambil dua parti utama yang menubuhkannya iaitu UMNO dan Pas berkaitan dengan kerjasama bersama Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan: