PRK Rantau: Bukan mudah PKR nak menang, Aminuddin

Aminuddin(dua dari kanan) pada sidang media hari ini.
A
A

SEREMBAN - Jentera PKR khususnya di kawasan DUN Rantau diingatkan supaya tidak berbalah soal menentukan siapa calon yang terbaik bertanding pada PRK kali ini.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memfokuskan kerja keras untuk memastikan kemenangan PH.

"Soal calon akan ditentukan pucuk pimpinan.

"Kita ambil pandangan semua peringkat termasuk bawahan dan akan dibawa ke dalam perbincangan untuk lihat potensi setiap calon untuk menang, itu yang penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir majlis Perasmian Sesi Pengundian Rumah Mampu Milik Type A, Taman Bukit Sarimban, di sini, hari ini.

Menurutnya, jentera parti diharap memahami mengenai kriteria pemilihan calon yang perlu diambil kira supaya tidak berlaku kesilapan yang akhirnya merugikan parti.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, seperti PRU14, bukan semua nama yang diharapkan menjadi calon akan dipilih.

"Ramai tawarkan diri, jadi kita tunggu keputusan pucuk pimpinan, yang pasti sukar untuk pilih calon yang boleh menang.

"Mungkin ada yang kata dia boleh menang, tapi belum tentu pengundi boleh terima, jadi saya harap penyokong dan pengundi faham ada strategi yang perlu dilakukan untuk pastikan kita menang di DUN Rantau," katanya.

Aminuddin mengakui bukan mudah untuk menghadapi PRK di DUN Rantau, lebih-lebih lagi di kubu kuat pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Tapi kita akan turun sebagai 'under dog' dan beri saingan sengit kepada pihak lawan," katanya.

Ditanya berkenaan senarai calon, Aminuddin mengulangi kenyataan yang disebut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana terdapat berbelas nama yang telah disenaraikan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia