Jabatan Perikanan kesan nelayan tidak aktif

Ahmad (dua dari kiri) bersama Halimah (tiga dari kiri) ketika melawat Jeti Nelayan Tanjung Sedili pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kiri) bersama Halimah (tiga dari kiri) ketika melawat Jeti Nelayan Tanjung Sedili pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan menerusi Jabatan Perikanan Malaysia sedang melaksanakan proses pemutihan bagi mengenal pasti status nelayan aktif di seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, perkara itu dilakukan berikutan sehingga kini terdapat lebih 16,000 nelayan pantai di seluruh negara tidak mempunyai lesen kelas Zon A.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat seramai 120,000 nelayan yang berdaftar bersama LKIM dengan 40,000 daripadanya mempunyai lesen di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Buat masa ini pemberian lesen memang tiada, jadi kita kena buat pemutihan untuk kesan mana-mana nelayan yang tidak aktif, setelah lesen itu ditarik atau ditamatkan, barulah kita pertimbangkan pemberian lesen kepada pemohon baharu.

“Ini juga kerana bagi setiap pemberian lesen ini, pelbagai proses perlu dilalui antaranya kita perlu mengkaji densiti dan jumlah tangkapan ikan di satu-satu kawasan. Selain itu, kita tidak mahu ada berlaku lambakan atau ikan berkurangan tetapi jumlah nelayan ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah nelayan yang masih tidak mempunyai lesen ketika lawatan kerja di Jeti Nelayan Tanjung Sedili di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Halimah Sadique.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya telah mendengar pelbagai masalah dan kesukaran yang dihadapi para nelayan terutama ketika pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Antara masalah lain yang dihadapi nelayan tempatan di kawasan ini adalah kekurangan kemudahan sokongan selain menerima ancaman daripada nelayan asing.

“Kita akan berbincang dan pertimbangan solusi terbaik berhubung perkara ini, mungkin tiada masalah kerana industri perikanan ini sememangnya akan diberikan perhatian pada perbentangan Belanjawan 2022 tidak lama lagi,”jelasnya.