Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

Suspek yang berusia 33 tahun dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee bersama kenderaannya untuk siasatan lanjut
Suspek yang berusia 33 tahun dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee bersama kenderaannya untuk siasatan lanjut
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol ditahan kerana memandu secara melawan arus di kilometer 6.5 Kerinchi Link dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan oleh polis bantuan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)-Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) sekitar jam 1.15 pagi.

"Suspek memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna emas secara melawan arus dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B dengan jarak sejauh kira-kira 50 meter.

"Suspek disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Anggota polis yang melakukan tugas rondaan kawasan tanggung jawab di Lebuhraya LDP-Sprint telah membawa suspek dan kenderaannya ke Balai Polis Jalan Tun H.S Lee," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sarifudin berkata, keputusan ujian pernafasan atau Evidential Breath Analyzer (EBA) terhadap suspek menunjukkan terdapat sebanyak 254 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.

Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.

"Kita buka siasatan di bawah Seksyen 45(a) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: