Kedah salur lebih RM12 juta bantu sekolah agama sejak pandemik

Najmi (dua dari kanan) ketika hadir majlis penyerahan bantuan wang wakalah agihan zakat kepada pengurusan pondok yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Rabu.
Najmi (dua dari kanan) ketika hadir majlis penyerahan bantuan wang wakalah agihan zakat kepada pengurusan pondok yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah tidak meminggirkan keperluan sekolah agama rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok di negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, sepanjang tempoh pandemik bermula sejak tahun lepas, sebanyak RM12,305,200 diagihkan kepada sekolah agama yang layak.

Menurutnya, pada 24 April lalu, kerajaan negeri telah menyerahkan bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 secara one-off kepada institusi pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

“Sebanyak 191 penerima terdiri daripada Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), pondok dan maahad tahfiz menerima bantuan keseluruhan RM955,000,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Najmi berkata, pada tahun lepas pula, bantuan RM300 secara one-off telah diberikan kepada 4,979 guru lantikan lembaga sekolah melibatkan peruntukan RM1,479,900.

“Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut menyediakan beberapa skim bantuan bagi membantu sekolah agama dan kakitangan sekolah termasuk guru yang terkesan akibat pandemik.

“Antara skim bantuan yang telah disalurkan dalam tempoh pandemik adalah bantuan pengurusan operasi sekolah agama sebanyak RM3,101,800 kepada 69 sekolah dengan 15,559 penerima. Tahun lepas, RM2,700,800 diagihkan kepada 39 sekolah dengan 13,504 penerima,” katanya.

Menurut beliau, bantuan berkenaan adalah untuk menguruskan operasi sekolah, pentadbiran dan aktiviti pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan peralatan digital seperti komputer riba dan peralatan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) turut diberikan kepada 187 buah sekolah agama yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, membabitkan peruntukan RM561,000,” katanya.

Najmi berkata, seramai 2,790 guru dan kakitangan sekolah agama turut dibantu dan menerima bantuan one-off RM600 melibatkan dana RM1,674,000.

“Bantuan kepada guru agama kampung sebanyak RM400 seorang turut diagihkan, melibatkan 10,669 penerima dengan jumlah keseluruhan RM4,267,600,” katanya.

Pihaknya berharap sekolah agama yang belum mendaftar segera berbuat demikian agar tidak tercicir menerima bantuan daripada kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Najmi memaklumkan inisiatif lain yang dilaksanakan untuk membantu sekolah agama adalah menerusi agihan wang wakalah zakat.

“LZNK telah mengembalikan RM269,635.59 iaitu 1/8 daripada jumlah zakat dibayar kepada kerajaan negeri sebagai wang wakalah zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak.

“Kita tubuhkan Jawatankuasa Wakalah Agihan Zakat Pejabat Kerajaan Negeri Kedah bagi menguruskan agihan. Ia adalah bayaran zakat oleh kakitangan kerajaan negeri melalui potongan gaji kepada LZNK bagi tahun 2020 berjumlah RM2,157,084.66, melibatkan 29 agensi kerajaan negeri. Sehingga September, 4,056 daripada keseluruhan 5,173 kakitangan membuat bayaran zakat melalui kaedah ini,” katanya.

Menurutnya, tahun ini jawatankuasa memperuntukkan RM159,000 untuk diagihkan kepada 53 institusi pondok untuk perbelanjaan pengurusan pondok, dengan setiap pondok menerima RM3,000.

“Jawatankuasa juga telah peruntukkan RM20,000 kepada pelajar Institut al-Quran Darul Aman (Iqdar). Seramai 20 pelajar Iqdar layak menerima bantuan RM1,000 untuk digunakan bagi membayar yuran pendaftaran pengajian,” katanya.

Sebelum ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda Kedah menggesa kerajaan Persekutuan dan negeri menyalurkan bantuan lebih besar kepada SAR, sekolah tahfiz dan pondok yang berdepan masalah kewangan akibat tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) turut senada dan mahu kerajaan negeri Kedah segera menyalurkan bantuan kewangan kepada semua maahad tahfiz yang terjejas akibat pandemik, susulan kebanyakannya berdepan kewangan yang meruncing untuk terus beroperasi dan berisiko gulung tikar.