'Saya reda hilang anak perempuan tunggal'

Che Mohd Humaizi. Gambar kanan: Nurulhasha Humaira
Che Mohd Humaizi. Gambar kanan: Nurulhasha Humaira
A
A
A

SETIU - "Walaupun sedih, saya reda dengan kehilangan anak perempuan tunggal saya," kata bapa kepada Nurulhasha Humaira, 11, kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas ketika mencari kepah di muara Sungai Kampung Mangkuk, di sini pada Jumaat.

Che Mohd Humaizi Che Jemani, 38, berkata, anak sulung dari empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya gembira dan teruja untuk pergi mencari kepah buat kali kedua di Kampung Mangkuk.

Menurut Pembantu Arkitek itu, sebelum ini dia sudah membawa anak dan isterinya, Nurulhuda Abd Rahman, 38, berkelah sambil mencari kepah di lokasi itu pada Sabtu lalu.

"Mereka sangat gembira, bila balik arwah dan adik-adiknya mahu pergi sekali lagi mencari kepah untuk dimasak bersama mee segera, jadi saya pun bawa mereka sekali lagi semalam (Jumaat).

"Saya bertolak dari rumah pada jam 7 pagi dan tiba di Kampung Mangkuk dua jam kemudian bersama dua ahli keluarga yang lain," katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Forensik Hospital Daerah Setiu, di sini pada Sabtu.

Jelas Che Mohd Humaizi, dia kemudiannya pergi memancing bersama dua lagi rakan dengan menaiki sebuah bot kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa mencari kepah sebelum menerima panggilan daripada isteri memaklumkan anak mereka lemas.

Beliau yang tinggal di Kampung Surau Haji Daud, Kuala Terengganu berkata, sebaik tiba di lokasi dia berusaha mencari Nurulhasha Humaira dan dua sepupunya yang hilang namun gagal menemui mereka.

"Kejadian berlaku dengan cepat namun saya reda dengan apa yang terjadi dan alhamdulillah arwah bersama dua sepupunya berjaya ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Saya berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus mencari anak saya, begitu juga dengan wakil rakyat, orang kampung dan rakan-rakan yang banyak membantu serta mendoakan anak saya," katanya.

Jenazah murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Panglima Perang dalam satu liang lahad bersama sepupunya, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9 dan Muhammad Aryan Faheem, 7.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dikhuatiri lemas ketika mencari kepah bersama keluarga di muara sungai Kampung Mangkuk di sini petang Jumaat.

Ketiga-tiga mereka kemudian ditemui meninggal dunia pada Sabtu.

Mayat mangsa pertama, Nur Amni Insyirah ditemui pasukan penyelamat pada jam 1.08 pagi Sabtu, kira-kira 800 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Adiknya, Muhammad Aryan Faheem, 7, pula ditemui kira-kira 40 minit kemudian pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mayat Nur Amni Insyirah manakala mayat mangsa ketiga iaitu Nurulhasha Humaira berjaya ditemui pada jam 8.15 pagi Sabtu kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.