Kabinet setuju semak semula kes Pulau Batu Puteh

Ismail Sabri- Foto Bernama
Ismail Sabri- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa berhubung kes Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Menurutnya, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Pada masa yang sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah 'Tort of Misfeasance' ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menamatkan pertikaian perebutan ke atas Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura yang berlaku sejak 1979 selepas membuat keputusan menyerahkan kedaulatan kawasan tersebut kepada republik berkenaan.

ICJ bagaimanapun dalam ketetapannya itu memutuskan bahawa hak milik Tubir Selatan yang terletak kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia bagaimanapun memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan 30 Jun tahun yang sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Artikel Berkaitan:

Menurut pejabat Peguam Negara, permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

Begitupun, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.