Kes Covid-19 hari ini kekal bawah 10,000

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 kekal bawah 10,000 dengan 8,743 kes dilaporkan pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pertambahan itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 ialah 2,332,221.

“Selangor kekal mencatatkan angka yang tinggi dengan 1,351 kes, diikuti Sarawak (1,126), Kelantan (940), Johor (859) dan Sabah (761).

“Perak merekodkan sebanyak 724 kes, Terengganu (590), Pahang (553), Pulau Pinang (537) dan Kedah (437).

“Selain itu, Melaka sebanyak 289 kes, Kuala Lumpur (288), Negeri Sembilan (198), Perlis (66), Putrajaya (23) dan Labuan (satu),” katanya.

Beliau berkata, terdapat 14 kes import dilaporkan dan 8,729 kes merupakan penularan tempatan yang membabitkan 8,258 rakyat tempatan dan 471 bukan warga negara.

"Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 122 kes adalah daripada kategori tiga hingga lima dan 8,621 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 770 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 419 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

"Di ICU, sebanyak 714 kes merupakan kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan Covid-19.

“419 kes disyaki pula kemungkinan dan dalam siasatan daripada jumlah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 10 kluster baharu yang merupakan empat kluster tempat kerja dan empat kluster komuniti serta dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,580 yang mana 4,735 telah diisytiharkan tamat dan 845 kluster masih aktif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, maklumat terperinci situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data tersebut akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari.