Covid-19: Sabah peruntuk RM6 juta bantu golongan muda

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM6 juta kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah bagi membantu golongan muda yang hilang sumber pendapatan susulan penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, bantuan di bawah pakej rangsangan ekonomi itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam belanjawan tahun ini untuk menangani cabaran yang belum pernah terjadi akibat pandemik berkenaan.

"Pandemik ini bukan sahaja menyebabkan kesukaran dalam ekonomi tetapi juga masalah sosial, kesihatan dan pelbagai masalah lain terutama yang mempengaruhi pembangunan belia dan modal insan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM22.96 juta dalam belanjawan tahun ini bagi melaksanakan kursus dan latihan kemahiran teknologi, teknikal serta perdagangan dalam usaha mengukuhkan pembangunan modal insan selain menghasilkan generasi yang kompeten dan berdaya tahan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM55 juta untuk biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam kursus berkaitan kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sehingga peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kerjasama dengan MyProdigy Malaysia melalui persidangan maya ‘Bridging the Skills Gap’ yang dianjurkan oleh MyProdigy baru-baru ini.

Beliau berkata, persidangan itu dapat memberikan perkongsian mengenai kepentingan kecerdasan emosi, memupuk kreativiti, pemikiran kritis dan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehkerjaan khususnya kepada golongan belia di Sabah.

“Saya percaya peserta akan mendapat manfaat daripada perkongsian pengalaman dalam persidangan itu ketika mereka bersiap untuk menceburkan diri di tempat kerja,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: