Perlu sedikit masa buka sempadan Malaysia-Singapura

Hasni Mohammad (tiga dari kanan) menyerahkan sijil Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor sempena pelancaran Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Negeri Johor di Iskandar Puteri pada Sabtu.
Hasni Mohammad (tiga dari kanan) menyerahkan sijil Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor sempena pelancaran Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Negeri Johor di Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura memerlukan sedikit masa susulan berlaku peningkatan kes Covid-19 di republik itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bagaimanapun berkata, Johor bersedia menerima kemasukan pengunjung yang ramai khususnya selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan apabila kadar suntikan vaksin melepasi angka 90 peratus jumlah populasi dewasa negara.

"Persediaan ini termasuklah memastikan pematuhan kepada produser operasi standard (SOP) sedia ada menerusi pelbagai fasiliti berkaitan.

"Di peringkat negeri kita tidak berdepan masalah untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini.

"Apabila rentas negeri dibenarkan kelak selepas mencapai kadar 90 peratus, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka dengan kaedah 'walk-in' bagi mana-mana individu yang masih belum mendapatkan suntikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN2021) Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada Selasa, Singapura telah mengesan lebih 3,000 kes baharu Covid-19 di republik itu dengan mencatatkan jumlah tertinggi sejak pandemik itu bermula tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran merentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, pihaknya juga akan meningkatkan pematuhan SOP dengan menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk diletakkan di kawasan-kawasan kemudahan awam termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terdapat di negeri ini

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri baru-baru ini telah menerima sumbangan tujuh juta pelitup muka daripada Singapura.