Gengam Selangor bantu pihak terkesan pandemik Covid-19

Ahmad Yunus (dua dari kiri) pada sidang media yang berlangsung di Bangunan Baitul Ikhwan, pada Sabtu.
Ahmad Yunus (dua dari kiri) pada sidang media yang berlangsung di Bangunan Baitul Ikhwan, pada Sabtu.
A
A
A

HULU LANGAT - Pelaksanaan Program Gelombang Sejahteta Keluarga Malaysia (Gengam) Selangor merupakan salah satu inisiaitif yang dilaksanakan bagi mendekati dan menyampaikan bantuan kepada pihak yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pelaksanaan program itu juga adalah bagi menyahut insiaitif Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, program berkenaan yang bermula di Hulu Langat itu juga akan turut dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen negeri ini.

"Pelbagai program telah diatur seperti ziarah medik, bantuan kebajikan buat B40 termasuk orang asli, gotong-royong amal, santai anak muda bersama selebriti dan pelbagai lagi.

"Program kemuncak dijangka akan dilaksanakan pada 13 November depan dan disempurnakan oleh Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad," katanya sewaktu sidang media yang berlangsung di Bangunan Baitul Ikhwan, di sini, pada Sabtu.

Ismail pada Jumaat memberikan maklumat lebih terperinci frasa 'Keluarga Malaysia’ yang menjadi konsep Kerajaan Malaysia pimpinannya untuk bekerja bersama-sama memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berkata, Pas Selangor turut menyeru semua pihak agar dapat mencari titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia khususnya di Selangor yang demografinya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa.

"Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan dalam mencari kebenaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, ketika diminta mengulas mengenai tindakan guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri itu yang menolak untuk menerima vaksin Covid-19, Ahmad Yunus berkata, tindakan itu bukannya merupakan satu penolakan secara sebulat suara (en-bloc) oleh pihak terlibat.

Ujar beliau, pihaknya difahamkan ramai antara individu terlibat mula mengambil vaksin selepas mendapat penerangan yang betul.

"Harapan saya adalah agar pihak terlibat dapat mengambil vaksin Covid-19 sebagai usaha kita untuk tingkatkan ketahanan badan," katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah di negeri itu hadir pada program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini.