Masyarakat luar bandar perlu aktif bersukan: Mahdzir

Mahdzir ketika merasmikan HSN peringkat KPLB di Putrajaya pada Sabtu.
Mahdzir ketika merasmikan HSN peringkat KPLB di Putrajaya pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Aspek penjagaan kesihatan dan aktif bersukan perlu menjadi amalan semua pihak khususnya bagi masyarakat luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan masyarakat menyahut seruan Hari Sukan Negara (HSN) yang disambut setiap tahun.

Menurutnya, aspek penjagaan kesihatan diri melalui bersukan amat penting bagi memastikan kehidupan seharian lebih baik.

"Rakyat Malaysia terutama warga luar bandar dan keluarga Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), kita laksanakan aktiviti riadah hari ini dan teruskan bersukan pada hari-hari akan datang bagi membudayakan gaya hidup sihat," katanya ketika berucap merasmikan HSN 2021 peringkat Kementeriannya di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, KPLB bersama jabatan dan agensinya, menyokong penuh usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyahut cabaran dan laungan semangat kesukanan.

“Kita perlu seimbangkan gaya hidup dengan bersukan. Bersenam menjadi keutamaan untuk mengelakkan komplikasi penyakit kerana sudah menikmati pelbagai makanan termasuk yang mempunyai kandungan gula tinggi.

“Amalan bersukan itu tidak rugi, cuma kita perlu tahu cari ruang masa dan peruntukkan masa dalam seminggu mungkin dua atau tiga hari kita perlu bersenam untuk menjaga kesihatan badan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

HSN KPLB 2021 diadakan secara hibrid, disertai 100 warga kementerian menyertai acara senamrobik secara fizikal manakala 600 lagi warga kerja daripada 10 agensi KPLB menyertai senamrobik secara dalam talian di seluruh negara.

Majlis perasmian HSN 2021 Peringkat Kebangsaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di KBS pada Sabtu.