Suri rumah rugi RM8,696 ditipu jadi ejen perniagaan dalam talian

Seorang suri rumah di Jerantut kerugian RM8,696 selepas diperdaya oleh satu sindiket untuk menjadi ejen perniagaan dalam talian pada Khamis. Foto 123RF
Seorang suri rumah di Jerantut kerugian RM8,696 selepas diperdaya oleh satu sindiket untuk menjadi ejen perniagaan dalam talian pada Khamis. Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang suri rumah di Jerantut kerugian RM8,696 selepas diperdaya oleh satu sindiket untuk menjadi ejen perniagaan dalam talian pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kira-kira jam 9 malam pada Khamis lalu, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 28 tahun telah melayari Facebook dan berminat dengan satu hantaran mengenai ejen perniagaan dalam talian.

Menurutnya, mangsa telah menekan sambungan pada akaun Facebook tersebut dan terus dihubungkan ke aplikasi WhatsApp milik satu individu memperkenalkan diri sebagai wanita Cina bernama Amanda Ong.

"'Amanda' kemudian memasukkan mangsa ke kumpulan WhatsApp '61 Online Purchasing Group' dan mangsa telah dihubungi seorang pegawai khidmat pelanggan yang memintanya menyerahkan nombor kad pengenalan.

"Bahagian khidmat pelanggan itu meminta mangsa membayar barangan yang dibeli oleh pelanggan di satu platform e-dagang terkenal ke dalam akaun CIMB atas nama seorang wanita.

"Pada Jumaat kira-kira jam 4.26 petang, mangsa telah memindahkan RM299 dan kira-kira jam 4.43 petang sama, sebanyak RM1,500 dipindahkan ke atas akaun sama milik wanita itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Mohd Wazir, mangsa sekali lagi memindahkan RM2,299 ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama seorang lelaki pada jam 5.06 petang hari sama dan kemudiannya bahagian khidmat pelanggan memaklumkan terdapat pelanggan membeli dua barang.

"Kira-kira jam 5.15 petang, mangsa memindahkan RM2,299 ke dalam akaun BSN sama namun dimaklumkan oleh bahagian khidmat pelanggan iaitu mangsa tidak dapat menyelesaikan tugasan dalam tempoh diberikan dan menyuruh mangsa supaya membayar RM2,299 untuk mendapatkan semula wang yang dipindahkan sebelum itu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, mangsa telah memindahkan RM2,299 ke dalam satu akaun BSN atas nama individu seorang lelaki berbeza kira-kira jam 5.36 petang hari sama.

"Sekali lagi bahagian khidmat pelanggan masih meminta mangsa membayar RM2,299 kerana gagal melaksanakan tugasan yang ditetapkan.

"Mangsa yang berasa curiga dan tertipu membuat laporan polis," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.