Hutan Simpan Kekal baharu diwarta di Mukim Petaling

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui media pada Program Berbasikal Penghijauan Malaysia sempena Hari Sukan Negara di Sisiran Tasik Presint 19 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui media pada Program Berbasikal Penghijauan Malaysia sempena Hari Sukan Negara di Sisiran Tasik Presint 19 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) berkuat kuasa pada Jumaat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, HSK yang dikenali sebagai Hutan Simpan (HS) Sungai Besi (Tambahan) itu adalah bagi menggantikan kawasan HS Bukit Sungei Puteh, Mukim Cheras, Kuala Lumpur seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar untuk pembangunan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada tarikh sama.

Menurutnya, HSK berkenaan diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah subseksyen 10(1) Akta 313, selain diisytiharkan sebagai hutan tertutup di bawah Seksyen 45 akta sama.

“Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak itu adalah selaras dengan hasrat dan cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan kerajaan.

"Ia merupakan manifestasi kepada komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok,” katanya selepas menyertai Program Berbasikal Penghijauan Malaysia sempena Hari Sukan Negara (HSN) di sini pada Sabtu.

Menurut Takiyuddin, keluasan HS Sungai Besi (Tambahan) yang diwartakan itu adalah lebih besar berbanding HS Bukit Sungei Puteh yang diwarta keluar dan merupakan jenis hutan dipterokarpa tanah pamah.

Katanya, penggantian HSK secara serentak itu turut meningkatkan sebanyak 0.35 peratus kawasan hutan daripada keluasan tanah di Kuala Lumpur.

“Kementerian berharap perkara ini dapat dicontohi pihak berkuasa negeri untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan sebagai HSK di negeri masing-masing bagi memelihara khazanah negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Program Berbasikal Penghijauan Malaysia, beliau berkata, ia diadakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Perbadanan Putrajaya dengan pengisian aktiviti berbasikal serta penanaman pokok.

Takiyuddin berkata, aktiviti penanaman pokok selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang diterajui kementeriannya.

Tujuh pokok jenis Cempaka ditanam di sisir tasik Presint 19 dan tempat itu turut dinamakan ‘Dirian Hijau Putrajaya’.

Setakat ini, 16.5 juta pokok telah ditanam dengan sasaran 20 juta pokok bagi setiap tahun. - Bernama