Ops Bersama: 15 nelayan ditahan positif dadah

Anggota Maritim Malaysia dan pegawai AADK Pahang melakukan pemeriksaan ke atas nelayan dalam Ops Bersama baru-baru ini.
Anggota Maritim Malaysia dan pegawai AADK Pahang melakukan pemeriksaan ke atas nelayan dalam Ops Bersama baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang menahan 15 nelayan kerana didapati positif dadah ketika diperiksa dalam Ops Bersama di sekitar perairan Kuantan dan Kuala Rompin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, tujuh nelayan tempatan dan lapan nelayan asing berusia 20 hingga 46 tahun positif itu ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, semua nelayan tempatan yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan)1983 pindaan 1988 diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut, manakala nelayan asing diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

"Rata-rata nelayan yang ditahan memberi alasan terpaksa mengambil dadah untuk menghilangkan tekanan ketika bekerja di tengah laut

"Dalam operasi itu, sebanyak 14 bot nelayan tempatan dengan 71 orang nelayan tempatan dan nelayan asing serta lapan pekerja kapal pengangkut pasir diperiksa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Amran berkata, operasi melibatkan sembilan pegawai dan 28 anggota itu dijalankan dalam dua siri pada 29 hingga 30 September di sekitar perairan Kuantan dan pada 7 Oktober lalu di sekitar perairan Kuala Rompin.

"Sebuah bot ronda dan Kapal Maritim (KM) Tatau juga digerakkan dalam operasi itu bagi membanteras kegiatan penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar perairan Pahang di samping mencegah aktiviti jenayah maritim lain," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mengalu-alukan operasi bersama agensi penguatkuasa lain pada masa hadapan terutama yang melibatkan operasi memantau dan mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.