Laman rumah penduduk dilimpahi air pasang besar

Beberapa laman rumah penduduk di daerah Sabak Bernam dilimpahi fenomena air pasang besar di sini pada Sabtu.
Beberapa laman rumah penduduk di daerah Sabak Bernam dilimpahi fenomena air pasang besar di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa halaman rumah penduduk di daerah Sabak Bernam dilimpahi fenomena air pasang besar pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pemantauan pada jam 5.30 pagi itu dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam.

Menurutnya, antara kawasan dilimpahi air laut ialah di Pantai Bahan Nakhoda Omar, Jeti Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru Baruh, Institut Latihan Jati Diri Selangor (Iljas) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Tengar.

"Bagaimanapun fenomena limpahan air pasang besar di kawasan terbabit dalam keadaan terkawal," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norazam berkata, fenomena air pasang besar di negeri ini juga dilaporkan dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, pihaknya telah melakukan pemantauan di Pengkalan Nelayan Jeti Tok Muda Kapar, Pantai Remis Jeram, Kuala Selangor dan Pengkalan Nelayan Jeti Tok Muda Kapar seawal jam 6 pagi.

"Ketinggian paras air 5.6 meter, tetapi tiada tebing pecah dan air melimpah dilaporkan berlaku di Pengkalan Nelayan Jeti Tok Muda Kapar.

"Di beberapa kawasan Sepang juga tiada limpahan air luar biasa berlaku ketika pemantauan dijalankan di Jeti Sirip Biru, Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am dan sepanjang Pantai Bagan Lalang oleh di BBP Sepang pada jam 6.30 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fenomena air pasang besar di pesisiran pantai Selangor bermula pada Jumaat dan dijangka berakhir pada Ahad.