PM lancar 3 inisiatif baharu hala tuju sukan negara

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melancarkan Hari Sukan Negara 2021 (HSN2021) sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melancarkan Hari Sukan Negara 2021 (HSN2021) sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melancarkan dua inisiatif baharu iaitu Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan dan Program Talent Identification and Development (MyTID KPM-KBS) sempena Hari Sukan Negara 2021 di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa yang sama kerajaan sedang menggubal Pelan Tindakan Industri Sukan Negara yang bersifat komprehensif dan kompetitif bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.

Menurutnya, ketiga-tiga inisiatif itu adalah sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Visi Sukan Negara 2030.

"Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan merupakan satu dokumen komprehensif yang menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan serta penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

"Ia juga selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997 serta dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (atau CEDAW)," katanya sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2021 di sini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalannya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

"Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini yang dianggotai oleh 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

Artikel Berkaitan:

"Sasaran kita, ia mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Program MyTID KPM-KBS pula dilaksanakan melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Dianggarkan ia akan melibatkan 500 guru tenaga penguji terlatih (Talent Eagle) serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (Tahun Satu hingga Enam) yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon," katanya.

Menurutnya, program ini dijangka akan membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia tujuh

tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat.

"KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara yang bersifat komprehensif dan kompetitif, bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.

"Pelan ini amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion pada tahun 2020 dan dijangka terus positif berkembang dan mencecah AS$599 bilion pada tahun 2025," katanya.

Katanya, data yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan RM430 juta ringgit bagi tujuan sukan dan riadah.