Adakah perlu diwujudkan satu lagi parti Melayu?

Tengku Razaleigh.
Tengku Razaleigh.
A
A
A

PADA Jumaat, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha untuk mewujudkan semula 'UMNO lama'.

Mesyuarat ini diadakan di ibu pejabatnya di ibu negara.

Tengku Razaleigh atau Ku Li dilaporkan berkata, timbul kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai ketidaktentuan politik serta kemampuan kerajaan yang diterajui UMNO ketika ini mengembalikan kestabilan dalam negara.

"Jadi, oleh kerana itu kita cuba hendak buat kajian apakah dapatan (wujudkan semula UMNO lama) ini betul. Kita akan bincang sesama kita.

"Kita memikirkan baik kita kaji sama ada kedudukan UMNO lama boleh digerakkan semula kerana sambutan yang yang diterima agak bagus dan di luar jangkaan.

"Selain itu, banyak yang suka melihat UMNO lama aktif semula. Itulah yang kita bincang tadi," katanya dalam sidang akhbar.

Wujud beberapa persoalan di sini antaranya adakah perlu diwujudkan satu lagi parti Melayu di negara ini?

Tidak cukupkah parti Melayu sedia ada seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) di negara ini?

Artikel Berkaitan:

Apabila ditambah sebuah lagi parti, ia sedikit sebanyak akan menyebabkan undi Melayu itu sendiri berpecah.

Tidak perlu sebenarnya untuk diwujudkan semula parti UMNO lama seperti yang diperkatakan oleh Ku Li.

Bahkan, bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu sebenarnya boleh sahaja mewujudkan semula UMNO lama menerusi dalam parti itu sendiri.

Bagaimana?Ini dengan Ku Li bertanding dalam pemilihan jawatan Presiden yang akan diadakan kelak.

Beliau juga sebelum ini pernah bertanding dalam pemilihan jawatan Presiden bersama-sama dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada tahun 2018 yang akhirnya dimenangi oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tahun 2018 itu bukan pertama kali Ku Li masuk ‘gelanggang’ dalam pemilihan presiden.

Beliau juga pernah bertanding pada tahun 1988 mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad yang akhirnya kalah dengan majoriti 43 undi.

Jika mempunyai sokongan, beliau boleh sahaja masuk ‘gelanggang’ untuk bertanding dalam pemilihan parti dan selepas itu boleh menentukan hala tuju bagaimana yang dimahukannya.

Timbul juga persoalan jika Ku Li mahu mewujudkan semula UMNO lama, adakah ia mampu untuk menarik sokongan orang-orang Melayu dan pengundi lain untuk mengundi? Apakah daya tarikan parti ini?

Semua ini harus difikirkan oleh Ku Li sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Bak kata peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.