X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Kejatuhan kerajaan negeri Melaka satu perancangan rapi

Ab Rauf ketika Sinar Live bertajuk ‘Ulau Melingkau Atas Pagau’ yang dikendalikan Haizir Othman menerusi platform Sinar Harian baru-baru ini.
A
A

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yakin tindakan menjatuhkan kerajaan negeri Melaka merupakan satu perancangan rapi oleh bekas pemimpin UMNO bersama Pakatan Harapan (PH).

"Kalau tanya saya sudah pasti saya akan menilai keberadaan ketua-ketua PH bersama bekas Ketua Menteri ini. Masing-masing tentunya mempunyai satu perancangan yang cukup terancang. Bukan mudah untuk PH bersama dengan orang UMNO untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

"Ia mesti dirancang dengan begitu rapi kerana seperti yang saya katakan tadi sepanjang pengetahuan saya, saya tidak terfikir tentang sidang akhbar yang dijalankan pada Isnin yang lepas menjurus kepada usul tidak percaya kepada kepimpinan Ketua Menteri dan menarik balik kepercayaan itu menyebabkan kerajaan PN telah hilang majoriti," katanya.

Ikuti kupasan beliau dalam program Sinar Live bertajuk ‘Ulau Melingkau Atas Pagau’ yang dikendalikan Haizir Othman menerusi platform Sinar Harian baru-baru ini.

HAIZIR: Pada pandangan Datuk apakah faktor yang menyebabkan empat orang ADUN kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama dua orang daripada UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri?

AB RAUF: Kalau nak ulas tentang sebabnya, sememangnya saya tidak dapat menilai. Tetapi apa yang saya dapat lihat, penarikan sokongan ini dibuat tanpa pengetahuan dan perbincangan di antara kesemua mereka sama ada dengan Ketua Menteri ataupun saya selaku Pengerusi Perhubungan UMNO.

Jadi ini merupakan satu sandiwara yang telah terancam sehinggalah kalau kita melihat tidak akan berlaku penarikan diri ini kalau tidak dirancang dengan begitu rapi.

Jadi apa yang berlaku ini adalah satu pergerakan taktikal (tactical move) yang dirancang agak lama menyebabkan kita di peringkat perhubungan negeri tidak berbau (dapat mencium) tentang apa yang hendak dilakukan oleh keempat-empat mereka ini.

Saya juga melihat sandiwara ini juga merupakan satu sandiwara yang dirancang oleh seorang pengarah sandiwara yang begitu berkeinginan untuk menjadi pemimpin utama di negeri Melaka.

Jadi, kalau ditanya saya kenapa keempat-empat orang ini menarik diri daripada sokongan ini sememangnya saya tidak dapat memberikan alasan yang tepat tetapi setelah sidang akhbar dilakukan, maka saya mendapat maklumat bahawa apa yang berlaku ini bukanlah satu perkara yang berlaku dalam sekelip mata, ia telah dirancang begitu lama.

Kalau kita lihat, dari awal lagi Datuk Seri Idris Haron ini sebenarnya mungkin berasa dipinggirkan kerana beliau didakwa sebagai antara faktor menyebabkan kekalahan UMNO dan BN dalam PRU14 lalu di Melaka.

Jadi, pandangan Datuk sendiri adakah ini sebabnya Idris berasa kecewa seterusnya merancang untuk melaksanakan apa yang telah berlaku, mengajak tiga ADUN yang lain untuk mengisytiharkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri?

Kalau lihat dalam struktur kerajaan, beliau merupakan salah seorang bekas Ketua Menteri yang dilantik menjadi Exco dalam barisan kepimpinan pengurusan kerajaan negeri.

Sejak kita mengambil alih kuasa 19 bulan yang lalu, beliau juga terlibat bersama-sama dengan Ketua Menteri untuk menguruskan kerajaan Melaka. Soal beliau dipinggirkan adalah satu perkara yang saya tidak nampak.

Meminggirkan beliau pada sudut mana? Tetapi apa yang saya lihat, beliau seharusnya berjiwa besar kerana kekalahan kita pada peringkat PRU yang lepas. Memang kita faham ada soal isu nasional tetapi juga ada soal isu domestik.

Tetapi kita tidak meminggirkan beliau untuk bersama-sama membina semula Melaka dan kita menjemput beliau bersama-sama pucuk kepemimpinan duduk dalam barisan Exco untuk membina semula. Melaka yang telah pun kalah secara rasminya pada PRU yang lepas.

Jadi, saya melihat soal meminggirkan beliau itu tidak timbul kerana beliau bersama-sama dengan kita dan juga barisan ADUN yang lain duduk di dalam kerajaan menguruskan negeri ini selama 19 bulan.

Adakah di peringkat pusat dan peringkat perhubungan UMNO negeri tidak menyedari ada sesuatu yang tidak kena berlaku di peringkat komunikasi antara UMNO pusat dan UMNO negeri dengan Idris. Adakah tidak berlaku campur tangan daripada pimpinan UMNO khususnya pusat untuk menangani isu ini bagi mengelakkan penarikan sokongan ini daripada berlaku?

Itu yang saya nak beritahu tadi bahawa apa yang berlaku di Melaka adalah satu serang hendap yang terancang. Maksudnya kita tidak tahu permasalahan apa yang sedang berlaku menyebabkan perancangan ini menjadi kenyataan.

Soal campur tangan pusat ataupun tidak, pusat biasanya akan memberikan kebebasan di peringkat negeri untuk menguruskan permasalahan politik negeri. Jadi saya terlibat secara langsung dalam menguruskan politik negeri, bukan kerajaan.

Waktu itu bekas Ketua Menteri (Idris) bersama-sama dengan kita duduk di dalam barisan kepimpinan di peringkat negeri. Tetapi beliau tidak pernah pun melayan jemputan yang diberikan oleh perhubungan UMNO.

Ini disebabkan apabila kalah pilihan raya yang lepas, berlakulah pemilihan di peringkat bahagian, yang mana beliau telah tewas untuk memegang Ketua Bahagian pada ketika itu.

Ketidaksefahaman di antara pimpinan bahagian beliau dengan Ketua Bahagian berlarutan sehingga beliau berasa terpinggir kerana di dalam kawasan beliau sendiri, beliau seolah-olah tidak dipedulikan.

Bagi saya, bekas seorang Ketua Menteri yang pernah menguruskan kerajaan negeri, bahkan bekas Pengerusi Perhubungan yang kalau berjiwa seorang pejuang boleh melupakan segala sengketa, duduk bersama untuk membina semula Melaka dan merampas kerajaan negeri untuk kita membentuk kerajaan yang lebih baik.

Bukan merampas melalui serang hendap yang terancam ini. Bagi saya, saya bertanggungjawab atas jawatan yang diberikan oleh pucuk kepimpinan kepada saya untuk mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan selepas Melaka kalah dan saya menunaikan tanggungjawab tersebut untuk mengembalikan semula mandat rakyat melalui UMNO bersama-sama rakan strategik supaya apa yang sedang berlaku di dalam suasana kerajaan yang terdahulu selama 22 bulan, rakyat Melaka inginkan satu perubahan.

Maka saya memikul tanggungjawab tersebut dan bulan tiga tahun 2020 apabila berlaku langkah sheraton yang menyebabkan perubahan kerajaan di peringkat negeri Melaka.

Kita membentuk kerajaan atas gabungan parti Bersatu untuk bersama-sama mengambil alih kerajaan. Kemudian didatangi lagi oleh dua orang, iaitu PKR dan DAP membentuk kerajaan dan kita telah menguruskan kerajaan ini dengan baik, tetapi malangnya kerajaan yang diambil ini dalam kita nak membina semula Melaka, pandemik Covid-19 berlaku di seluruh negara menyebabkan pergerakan, pembinaan, pelabur masuk ke Melaka terhad.

Jadi, saya melihat sekiranya bekas Ketua Menteri yang juga bekas Pengerusi Perhubungan ini berjiwa besar patutnya datang bersama-sama dengan kami untuk membina semula Melaka.

Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Idris Haron dalam sidang akhbarnya iaitu mengatakan ada dua singa di atas satu gunung, kemudian ditambah Datuk Noor Azman Hassan. Ada tiga sebenarnya singa merujuk kepada kepimpinan Melaka dan yang dilibatkan atau dituduh walaupun tidak dinyatakan secara jelas adalah Datuk sendiri yang dikatakan mempengaruhi Ketua Menteri. Jadi apa komen Datuk berkaitan tentang perkara ini?

Saya pun tak nampak pada sudut mana saya mempengaruhi Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam beliau mengurus tadbir negeri Melaka kerana saya tahu garis sempadan saya sebagai seorang Pengerusi Perhubungan UMNO yang menjaga hal ehwal politik dan saya memberikan beliau sepenuh kepercayaaan untuk mengurus tadbir sebuah kerajaan yang diterajui UMNO.

Saya sama sekali tidak terlibat dalam pengurusan kerajaan negeri walaupun banyak rujukan daripada orang awam kepada saya untuk membawa apa juga cadangan kepada Ketua Menteri.

Saya tidak pernah melayan mana-mana individu untuk diketengahkan kepada Ketua Menteri, namun saya tahu di mana sempadan saya sebagai seorang ketua politik dalam negeri dan juga seorang Speaker yang sempadannya agak terhad.

Jadi saya tidak mahu memperincikan tentang tohmahan ini tetapi saya harap bekas Ketua Menteri faham kerana beliau pernah menerajui kerajaan negeri dan tidak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi seorang Ketua Menteri dalam urusan harian ataupun urusan kerajaan negeri setiap hari.

Adakah Datuk merasakan bahawa PH ada saham ataupun peranan dalam serangan hendap seperti mana dikatakan Datuk sebentar tadi?

Kalau tanya saya sudah pasti saya akan menilai keberadaan ketua-ketua PH bersama bekas Ketua Menteri ini. Masing-masing tentunya mempunyai satu perancangan yang cukup terancang. Bukan mudah untuk PH bersama dengan orang-orang UMNO untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Ia mesti dirancang dengan begitu rapi kerana seperti yang saya katakan tadi sepanjang pengetahuan saya, saya tidak terfikir tentang sidang akhbar yang dijalankan pada Isnin yang lepas menjurus kepada usul tidak percaya kepada kepimpinan Ketua Menteri dan menarik balik kepercayaan itu menyebabkan kerajaan PN telah hilang majoriti.

Saya bercakap terus terang saya juga berunding malam sebelum itu dengan kepimpinan DAP. Saya telah menawarkan beberapa solusi untuk kita membendung supaya ini tidak berlaku. Tetapi adalah lebih malang saya melihat ia tidak diterima oleh pimpinan utama DAP di Melaka.

Boleh Datuk huraikan apakah bentuk komunikasi antara kerajaan negeri Melaka dengan pembangkang khususnya PH?

Saya tidak mewakili kerajaan negeri sewaktu saya berjumpa dengan DAP. Saya berjumpa dengan DAP atas sebab saya mewakili BN negeri dan diaturkan oleh seorang pemimpin UMNO untuk saya berjumpa dengan pucuk pimpinan DAP.

Saya menawarkan sepertimana saya putuskan dalam sidang dewan sebelum ini yang mana Ketua Menteri menawarkan kumpulan parti pembangkang menjadi rakan strategik untuk membina semula Melaka.

Jadi saya membentangkan bahawa kenapa kita nak meruntuhkan kerajaan negeri, kenapa kita tak nak bersama-sama dalam tawaran yang telah dibawa oleh Ketua Menteri supaya kita dapat duduk bersama.

Saya mengatakan kepada beliau saya mengharapkan yang terbaik (hope the best) untuk kita duduk bersama-sama dan tidak menjejaskan kestabilan politik negeri, memandangkan suka tidak suka pilihan raya umum pasti akan berlaku tidak lama lagi.

Kenapa kita nak runtuhkan kerajaan negeri ini dengan berpakat dengan orang yang ada dalam kerajaan negeri bergabung dengan beliau untuk menjatuhkan kerajaan. Itu sebab saya panggil ini satu sandiwara. Saya tahu bila mesyuarat dijalankan, saya juga tahu pergerakan yang telah dibuat, malah melihat Akuan Bersumpah (SD) yang telah pun dipelopori dan ditulis meminta daripada salah seorang bekas Ketua Menteri menjadi Ketua Menteri itu semula.

Jadi dalam perbincangan tersebut, saya menyatakan bahawa kita jangan merosakkan kerajaan negeri ini kerana kita berada dalam suasana pandemik yang baru sahaja masuk fasa tiga pelan pemulihan.

Rakyat baru nak pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa. Kenapa kita perlu menggegarkan politik melaka ini dengan gerakan serang hendap yang terancam ini.

Apabila Datuk mengatakan wujud interaksi di pihak Datuk dengan pemimpin pembangkang terutama DAP, ini sebenarnya telah pun digambarkan di peringkat nasional apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangi MoU dengan pimpinan PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kenapa semangat yang sama tidak dapat dilaksanakan di peringkat negeri Melaka? Adakah seperti yang Datuk katakan sebentar tadi tawaran yang dibuat tersebut tidak disambut. Adakah benar dakwaan tersebut?

Sudah pasti tidak disambut. Kalau disambut maka tak berlaku serang hendap pada Isnin lepas.

Adakah MoU di peringkat pusat itu tidak berlaku di peringkat negeri? Boleh kita katakan begitu Datuk?

Tidak berlaku. Bila saya menghulurkan tangan kepada pucuk pimpinan DAP supaya melihat kembali apa yang dicadangkan oleh Ketua Menteri semasa sidang dewan berlangsung yang mana saya sendiri yang mempengerusikan sidang itu selaku Speaker.

Saya melihat tawaran itu amat baik tetapi mereka tidak menerima hasrat tersebut. Saya ingatkan sekali lagi bahawa sesungguhnya apa yang berlaku pada Isnin lepas bukanlah sesuatu perkara yang berlaku sekelip mata, ia telah dirancang begitu rapi.

Adakah langkah membubarkan DUN Melaka seperti mana yang dinasihatkan Ketua Menteri kepada Yang di-Pertua, Tun Mohd Ali Mohd Rustam itu merupakan langkah yang tepat? Adakah tidak ada jalan lain untuk mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN)?

Saya sudah cuba sedaya upaya supaya perkara ini tidak berlaku. Jadi sebagai ketua politik negeri saya melihat ini merupakan satu ancaman kepada kestabilan politik yang mana kita sedang berada di dalam pandemik Covid-19. Kita digegarkan dengan tekanan politik untuk meruntuhkan kerajaan yang kita uruskan selama 19 bulan.

Pilihan saya bagaimana untuk berunding dengan pihak yang berminat mengambil alih kerajaan dengan saya yang nak mempertahankan kerajaan sedia ada, bagi saya kita perlu menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat supaya rakyat boleh memilih dan memberikan kepada mana-mana parti yang boleh menguruskan mereka dengan baik pada masa akan datang.

Soalnya sekarang, apabila terbubarnya Dewan ini, kita telah memberikan notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan terserah kepada mereka untuk berunding dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kaedah terbaik untuk mengadakan PRU di Melaka.

Pada pandangan Datuk apakah pendekatan yang akan diambil oleh UMNO jika PRN Melaka tetap dilaksanakan?

Saya tidak menolak sekiranya Melaka ini dijadikan PRN sebagai contoh menjurus kepada PRU akan datang dalam bentuk gabungan parti-parti untuk bersama-sama dengan UMNO ataupun UMNO berdiri dengan sendirinya untuk menghadapi PRU nanti.

Terlalu awal untuk saya olah kesimpulan ini, tetapi saya akan persembahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi berdasarkan daripada penilaian dan pertimbangan yang saya berikan di peringkat negeri. Jadi, segala kemungkinan ini tertakluk kepada pucuk pimpinan untuk menilai kaedah pilihan raya dan jajaran mana yang kita akan buat. Ingat, politik ialah seni seribu satu kemungkinan.

Adakah Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan tetap ditampilkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka ataupun ada calon-calon lain yang akan ditampilkan?

Siapa sahaja boleh dinamakan. Tetapi ia diputuskan oleh Presiden parti untuk memilih siapa yang sesuai untuk menerajui kerajaan negeri. Jadi, samada Sulaiman Md Ali diteruskan sebagai Ketua Menteri atau mana-mana mereka yang lain terserah kepada pucuk kepimpinan. Bukan hak saya.

Adakah wujud perbincangan antara UMNO dengan PN kerana di peringkat pusat ketetapan telah pun dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu. Adakah ketetapan ini akan digunakan ataupun ada ketetapan lain?

Seperti mana yang saya katakan sebentar tadi, saya akan membentangkan apa jua bentuk jajaran yang akan saya buat, terserah kepada pucuk kepimpinan. Saya melihat kita telah pun menjalani satu PRN di Sabah dan rujukan ini akan memandu kita untuk melaksanakan pilihan raya di Melaka. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana keputusan samaada gabungan PN ataupun MN itu terserah kepada keputusan pucuk pimpinan parti. Terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan ini.

Ab Rauf ketika Sinar Live bertajuk ‘Ulau Melingkau Atas Pagau’ baru-baru ini.
Ab Rauf ketika Sinar Live bertajuk ‘Ulau Melingkau Atas Pagau’ baru-baru ini.

Bagaimana pula Datuk melihat kenyataan yang dibuat oleh PH Melaka dalam satu sidang akhbar yang sebenarnya tidak setuju dengan keputusan untuk membubarkan DUN dan akan membawa keputusan ini di mahkamah?

Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan parti-parti yang tidak bersetuju untuk dibawa ke muka pengadilan. Tetapi sudah pasti dalam rombakan DUN ini sudah diteliti dengan merujuk kepada Perlembagaan Negeri iaitu Undang-Undang Tubuh Negeri. Keputusan yang dibuat bukan keputusan yang sengaja dibuat, tetapi atas sifat yang dibuat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka.

Apakah harapan Datuk seandainya berlaku PRN yang dijadualkan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan. Bagaimanakah Datuk melihat kemampuan UMNO dan BN untuk menerajui semula Melaka atau bagaimana kedudukan UMNO selepas pilihan raya nanti?

Kedudukan UMNO untuk menerajui kerajaan negeri saya mempunyai harapan yang tinggi kepada rakyat untuk menilai apa yang telah pun rakyat Melaka merasai 22 bulan di bawah pemerintahan PH. Jadi 22 bulan itu menjadi rujukan tatkala kita menguruskan kerajaan negeri selama 19 bulan.

Antara kebahagiaan rakyat selama 22 bulan dan 19 bulan ini boleh dinilai dengan pencapaian yang telah kita buat. Kita juga telah menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik.

Setakat ini rakyat Melaka telah pun melebihi 80 peratus kadar vaksinasi dan kita telah masuk ke fasa tiga. Rakyat telah melihat semua kaedah pengurusan kerajaan negeri dengan begitu baik berbanding dengan 22 bulan terdahulu ditadbir oleh PH, rakyat mengharapkan UMNO kembali menerajui Melaka.

Apakah mesej yang ingin Datuk sampaikan kepada penduduk Melaka seandainya PRN tetap diadakan?

19 bulan kita mengambil alih kerajaan negeri selepas 22 bulan yang lepas inilah satu-satunya kerajaan yang diterajui 100 peratus kerajaannya yang berbangsa Melayu. Kerajaan Melayu dan Islam yang pertama dalam kerajaan negeri.

Saya mengharapkan selepas ini sekiranya kita dapat membentuk semula kerajaan, pertama kaum-kaum Cina dan India bersama-sama memberikan sokongan kepada calon BN untuk kita dapat membentuk kesefahaman menguruskan kerajaan.

Saya juga mengharapkan penilaian harus dibuat oleh rakyat Melaka bahawa BN adalah pilihan terbaik. Apa yang berlaku pada hari ini diberi pengajaran. Sesungguhnya kestabilan politik ini adalah satu kestabilan yang telah diterima oleh rakyat Melaka selama 19 bulan, tetapi serang hendap yang terancang ini atas sifat kerakusan seorang pemimpin yang ingin menjadi semula Ketua Menteri telah diterjemah pada hari Isnin lepas.

Oleh itu saya mengingatkan kepada semua rakyat Melaka bersama dengan BN dan UMNO, kita kembali menerajui kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!