Kekalkan semangat melawan luar biasa

Pearly Tan-Thinaah antara sandaran skuad negara berdepan Denmark pada saingan Piala Uber. - Foto Badminton Association of Malaysia (BAM)
Pearly Tan-Thinaah antara sandaran skuad negara berdepan Denmark pada saingan Piala Uber. - Foto Badminton Association of Malaysia (BAM)
A
A
A

PEMAIN muda skuad Piala Uber negara perlu menampilkan keyakinan tinggi apabila berdepan Denmark pada aksi pembukaan Kumpulan D di Ceres Arena, Aarhus pada Sabtu.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, semua pemain juga perlu sentiasa bersemangat tanpa mengira lawan dihadapi dalam kejuaraan tersebut.

“Seperti kita semua tahu, BAM menghantar skuad yang dibarisi ramai pemain muda dan pertama kali beraksi dalam saingan Piala Thomas & Uber kali ini.

“Ini sebenarnya peluang terbaik kepada setiap pemain muda ini mendapatkan pendedahan dan pengalaman yang akan mematangkan corak permainan masing-masing.

“Secara keseluruhannya, ia menunjukkan kepada dunia mengenai keazaman tinggi pemain muda negara selepas tampil semangat melawan meyakinkan pada saingan Piala Sudirman sebelum ini, apatah lagi berdepan pemain ranking yang jauh lebih tinggi daripada mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Malaysia bakal berdepan Denmark pada Sabtu diikuti China pada Ahad dan seterusnya Kanada pada Isnin bagi melengkapkan aksi bagi saingan Kumpulan D.

Skuad Piala Uber negara kali ini menampilkan S Kisona, Eoon Qi Xuan, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman bagi acara perseorangan manakala beregu pula menampilkan Lee Meng Yean-Go Pei Kee, Pearly Tan-M Thinaah dan Yap Ling-Teoh Mei Xing.

Sementara itu, James juga mengingatkan pemain negara untuk memantapkan kerjasama berpasukan masing-masing pada saingan Piala Uber seperti dilakukan semasa kejuaraan Piala Sudirman di Vantaa, Finland sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang bukan masa lagi untuk persembahan individu kerana ia adalah pertandingan format berkumpulan. Oleh itu, semua pemain perlu memiliki semangat untuk menang tanpa mengira lawan yang ditemui.

“Mereka tidak boleh lemah semangat. Sebagai contoh, kalau perseorangan utama tewas, perseorangan kedua mesti bersemangat untuk menang dan begitulah seterusnya dalam usaha memastikan kejayaan pasukan,” katanya.