‘Perluaskan hebahan Undi 18’

Hebahan lebih meluas perlu dilaksanakan bagi memastikan lima juta pengundi baharu Undi 18 terutama yang berada di kawasan luar bandar mendapat maklumat tepat dan terkini. Gambar kecil: Nurul Ashikin
Hebahan lebih meluas perlu dilaksanakan bagi memastikan lima juta pengundi baharu Undi 18 terutama yang berada di kawasan luar bandar mendapat maklumat tepat dan terkini. Gambar kecil: Nurul Ashikin
A
A
A

SHAH ALAM - Hebahan lebih meluas perlu dilaksanakan bagi memastikan lima juta pengundi baharu Undi 18 terutama yang berada di kawasan luar bandar mendapat maklumat tepat dan terkini.

Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, berdasarkan tinjauan masih ramai yang tidak mengetahui tarikh akhir semakan pengundi baharu Undi 18 adalah pada 31 Oktober ini.

Menurutnya, rata-rata kumpulan yang masih tidak mengetahui perkara tersebut ialah mereka yang berada di kawasan luar bandar dan masyarakat orang asli.

“Semasa Parti Pejuang turun padang baru-baru ini, di sebuah perkampungan orang asli di Perak bagi menyampaikan bantuan makanan, kami mendapati masih ramai yang tidak mengetahui mengenai Undi18.

“Saya secara peribadi berharap agar hebahan lebih meluas dilaksanakan supaya masyarakat luar bandar atau di pedalaman mendapat maklumat tepat dan terkini berhubung isu ini.“Kita tidak mahu perkara baharu melibatkan Undi 18 tidak sampai kepada masyarakat terutama mereka yang tiada akses jalur lebar atau kemudahan internet,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.

Semakan pengundi baharu untuk Undi 18 boleh disemak oleh orang ramai sehingga 31 Oktober ini, setelah senarai nama pengundi berusia 18 tahun ke atas dimasukkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Untuk rekod, sebanyak lima juta pengundi baharu Undi 18 bakal membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, menggantikan had umur 21 tahun sebelum ini.

Nurul Ashikin berkata, SPR perlu melipat ganda usaha menyebar luas maklumat berhubung Undi18 kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bukan sahaja perlu menguar-uarkan hebahan menerusi media sosial, SPR juga perlu menggunakan semua media nasional termasuk rangkaian televisyen, radio dan akhbar bagi menyalurkan maklumat secara berkala.

Tegasnya, perkara itu penting bagi memastikan seluruh lapisan masyarakat cakna dengan Undi 18, memandangkan ia pertama kali diadakan di negara ini.

Beliau turut berpandangan tempoh semakan maklumat peribadi pengundi baharu Undi 18 perlu dilanjutkan bagi membolehkan semua pengundi yang layak dapat membuat semakan tepat.