ADUN keluar parti bukan perkara luar biasa di Sabah

Datuk Seri Bung Moktar
Datuk Seri Bung Moktar
A
A
A

KINABATANGAN - Pergolakan politik seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar daripada parti bukan perkara luar biasa berlaku di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berkata, mungkin ada dorongan yang membuatkan ADUN berkenaan keluar parti termasuk daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Di Sabah ini tidak menghairankan saya. Pergolakan politik seumpama ini berlaku (ADUN keluar parti) dan pertama, kita lihat Warisan pada ketika ini bukan lagi pemerintah dan kita lihat hala tuju mereka sudah berbeda di mana Warisan telah mengembangkan sayapnya ke Semenanjung untuk bertanding.

"Jadi mungkin ada di kalangan ADUN mereka tidak berpuas hati dengan langkah sebegini dan mereka mengisytiharkan untuk keluar parti seterusnya menjadi ADUN Bebas," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang keluar daripada Warisan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan ADUN yang keluar daripada parti dan berharap mereka memainkan peranan untuk membangunkan masyarakat di kawasan masing-masing.

"Saya mengalu-alukan wakil rakyat yang telah melakukan sedemikian. Saya ucapkan selamat maju jaya sebagai ADUN Bebas dan mudah-mudahan mereka memainkan peranan lebih aktif dan efisien untuk membangunkan masyarakat," katanya.

Ditanya jika Yusof berminat untuk menyertai UMNO, beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, UMNO sentiasa terbuka untuk mereka yang ingin menyertai parti itu.

Artikel Berkaitan:

"Dari dulu saya katakan UMNO sentiasa terbuka. Pintu kita terbuka luas sekiranya mereka ada keikhlasan untuk masuk UMNO. Saya terima dengan hati yang senang," katanya.