Skuad muda sedia hadapi lawan ranking lebih tinggi

Aaron-Wooi Yik mengemudi cabaran beregu lelaki bersama Sze Fei-Nur Izzudin dan Wei Chong-Kai Wun. Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM
Aaron-Wooi Yik mengemudi cabaran beregu lelaki bersama Sze Fei-Nur Izzudin dan Wei Chong-Kai Wun. Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

KETIKA ini, skuad badminton lelaki dan wanita negara giat mempersiapkan diri berdepan pasukan besar pada saingan Piala Thomas dan Uber 2020 yang akan bermula Sabtu, namun adalah lebih baik tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

Ini kerana Malaysia kali ini menampilkan barisan pemain muda yang lebih menumpukan kepada meningkatkan prestasi serta pendedahan kepada mereka ke arah menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.

Barisan pemain muda negara sememangnya amat bersemangat tinggi apatah lagi mereka baru sahaja menamatkan saingan acara berpasukan campuran Piala Sudirman di Vantaa, Finland dengan prestasi membanggakan apabila mara ke separuh akhir selepas menewaskan Indonesia 3-2.

Demikian juga keterujaan peminat sukan khususnya peminat sukan badminton tanah air terhadap kejayaan barisan pemain muda negara.

Namun, saingan pada kejohanan Piala Thomas dan Uber boleh diibaratkan sebagai dua pentas yang berbeza.

Mengimbas pencapaian di Piala Thomas, sudah hampir tiga dekad selepas kali terakhir skuad badminton negara menjulang piala keramat iaitu pada 1992 di hadapan penonton tanah air. Malaysia juga pernah memenangi Piala Thomas pada tiga edisi terdahulu iaitu 1949, 1952 dan 1955 serta dikemudiannya pada 1967.

Jadi, adalah tidak adil untuk meletakkan tekanan di bahu barisan pemain muda yang buat pertama kalinya tampil tanpa legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang memimpin skuad negara sejak 2004 di Jakarta.

Bersandarkan ‘darah muda’, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran sederhana iaitu mara ke suku akhir, yang dilihat lebih mudah dicapai selepas penarikan diri pasukan England, 11 jam sebelum tirai kejohanan dibuka.

Artikel Berkaitan:

Diundi dalam kumpulan D, Malaysia hanya perlu melepasi halangan pasukan Kanada untuk mengesahkan tiket ke suku akhir. Pastinya, kemenangan ke atas pasukan pilihan yang juga naib juara 2018, Jepun diketuai Kento Momota, memberikan kelebihan pada saingan suku akhir kelak.

Sudah pasti tugas berat menanti skuad lelaki negara dengan hanya Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memiliki pengalaman beraksi di pentas Piala Thomas sebelum ini.

Zii Jia yang menduduki rangking kelapan dunia dan juara Seluruh England, bakal membimbing barisan pemain perseorangan lelaki negara seperti Ng Tze Yong, Cheam June Wei dan Aidil Sholeh Ali Sadikin manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik mengemudi cabaran beregu lelaki bersama Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Meskipun Zii Jia berjaya menewaskan Momota pada saingan Piala Sudirman baru-baru ini, dan dijangka mampu mengulangi kejayaan itu sekali lagi, namun, kedudukan barisan pemain perseorangan lelaki Jepun seperti Kanta Tsuneyama (ranking ke-13) dan Kenta Nishimoto (ranking ke-16) dilihat terlalu hebat untuk pemain perseorangan kedua dan ketiga negara.

Pasukan Jepun tetap mantap walaupun tanpa kehadiran tiga pemain beregu terkuat mereka - Takeshi Kamura, Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo yang telah bersara - memperlihatkan peluang untuk Aaron-Wooi Yik lebih terbuka untuk menyumbang mata.

Bagaimanapun, Jepun bukan satu-satunya pasukan yang perlu diberikan perhatian oleh skuad negara.

Seperti China, meskipun menampilkan barisan pemain muda, juara 10 kali itu tidak boleh dipandang mudah walaupun mereka hadir tanpa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Chen Long dan gandingan Li Junhui-Liu Yuchen.

Masih segar dengan gelaran juara Piala Sudirman, juara bertahan itu tetap tampil hebat dengan barisan pemain seperti Shi Yuqi (ranking ke-10), Lu Guangzu dan juara Olimpik Remaja 2018 Li Shifeng selaku perseorangan lelaki.

Dalam aksi beregu pula, China yang diundi dalam kumpulan C bersama India, Belanda dan pendatang baharu, Tahiti, memiliki kekuatan juara dunia 2017 Liu Cheng, pemenang pingat emas beregu campuran Sukan Olimpik Wang Yilyu dan Zhou Haodong.

Indonesia, juga datang dengan harapan untuk menamatkan kemarau 18 tahun kejuaraan Piala Thomas menyenaraikan pemain handalan terdiri daripada Anthony Ginting dan Jonatan Christie untuk perseorangan lelaki dan Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo serta Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dalam saingan beregu.

Indonesia diundi dalam kumpulan A bersama Taiwan, Algeria dan Thailand.

Tuan rumah Denmark, juga tidak boleh dipandang mudah dengan diketuai pemenang pingat emas Sukan Olimpik Viktor Axelsen mengepalai perseorangan lelaki bersama Anders Antonsen dan Anders Rasmussen.

Denmark diundi dalam kumpulan B bersama Korea Selatan, Perancis dan Jerman.

Saingan Piala Uber pula, menyaksikan Malaysia diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA S Kisona selaku pemain perseorangan wanita utama negara selepas persaraan Goh Jin Wei, bersama Eoon Qi Xuan, K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman bersedia diturunkan selaku perseorangan kedua dan ketiga.

Bagi acara beregu pula, sandaran negara diletakkan di bahu Lee Meng Yean yang digandingkan dengan Go Pei Kee, Pearly Tan-M Thinaah dan Yap Ling-Teoh Mei Xing.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara pada saingan Piala Uber adalah layak ke suku akhir pada edisi 2008 dan 2010, skuad negara sudah semestinya mengimpikan ‘keajaiban’ untuk melepasi saingan kumpulan D berdepan China, Denmark dan Kanada.

Di atas kertas, kedua-dua pasukan badminton negara dilihat masih kerdil namun, dengan berbekalkan tekad, semangat dan disiplin, serta sudah semestinya atau kemungkinan mengharapkan ‘tuah’, tiada yang mustahil buat skuad negara.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann jelas dengan apa yang bakal dihadapi wira dan wirawati negara, meskipun berdepan dengan lawan yang berada di ranking lebih tinggi, beliau meletakkan harapan tinggi agar para pemain menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menjadikan mereka lebih baik dan kuat.

“Kami menyahut setiap cabaran. Bagaimana lagi caranya untuk para pemain menjadi lebih baik jika mereka tidak berdepan lawan lebih kuat? Jadi, kami percaya mereka perlu terus menjadi pejuang dan berani berdepan dengan apa-apa jua halangan.

“Paling penting adalah mereka memberikan seratus peratus dan tidak mudah berputus asa. Bagi Piala Uber, ya, kita masih lagi ketinggalan berbanding negara lain tapi itu tidak bermakna kita akan menyerah kalah,” katanya.

Gelanggang sudah tersedia, selepas ditangguhkan setahun berikutan pandemik Covid-19, Piala Thomas dan Uber kini kembali menemui peminat sukan badminton di seluruh dunia, khususnya peminat di Malaysia.

Tambahan pula, ini adalah kali pertama Piala Thomas dan Uber diadakan di Denmark. Kali terakhir aksi Piala Thomas berlangsung di Eropah adalah pada 1982 di London, England dan kali terakhir Piala Uber di adakan di Eropah juga di England pada edisi 1957 di Lancashire. - Bernama