Indonesia mampu akhiri kemarau

Gandingan Hendra Setiawan, Mohamad Ahsan
Gandingan Hendra Setiawan, Mohamad Ahsan
A
A
A

GANDINGAN beregu lelaki nombor dua dunia, Hendra Setiawan-Mohamad Ahsan percaya Indonesia mampu menamatkan kemarau hampir dua dekad meraih kejuaraan Piala Thomas pada edisi kali ini.

Menjelang aksi sulung Kumpulan A menentang Algeria pada 7 malam esok (1 pagi Ahad waktu Malaysia), kapten pasukan, Hendra, 37, berkata, semua pemain yakin untuk kembali merampas piala berprestij itu.

“Semua pemain ada keyakinan dan keinginan untuk menang Piala Thomas tahun ini. Tetapi, pasukan Indonesia harus fokus satu per satu perlawanan, kerana kumpulan pun lawannya bukan mudah.

“Yang penting, sekarang semua pemain sudah bersedia untuk berjuang,” kata pemain paling senior skuad Indonesia itu yang dua kali hampir muncul juara sebelum tewas di final pada edisi 2010 dan 2016, selepas latihan rasmi pasukan di Ceres Arena di sini, pada Jumaat.

Walaupun menjadi negara paling cemerlang dalam kejohanan berpasukan lelaki dunia itu dengan 13 gelaran, kali terakhir Indonesia muncul juara adalah pada edisi 2002 di Guangzhou, China.

Bagi rekod peribadi Hendra pula, beliau sudah merangkul pelbagai gelaran termasuk pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008, empat kali muncul juara dunia (2007, 2013, 2015 dan 2019), dua emas Sukan Asia (2010 dan 2014) dan dua Seluruh England (2014 dan 2019), namun beliau masih belum menjulang Piala Thomas.

Turut diundi dalam Kumpulan A ialah Thailand dan Chinese Taipei.

Sementara itu, Ahsan percaya bahawa beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, yang dikenali sebagai ‘Minions’ akan kembali menemui sentuhan berbisa mereka dalam saingan Piala Thomas kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Memang kita harus bersedia untuk galas misi sebagai beregu utama di sini, tetapi saya percaya Minions akan kembali lebih kuat. Mudahan-mudahan, insya-ALLAH (kita dapat muncul juara),” jelasnya. - Bernama