Isu Khazanah: Gambaran bagaimana ekonomi diuruskan

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prestasi Khazanah Nasional Berhad yang buruk didakwa memberi gambaran besar tentang bagaimana ekonomi diuruskan oleh kerajaan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mendakwa, kerugian besar yang dicatatkan menunjukkan sama ada pasaran mempunyai keyakinan terhadap prestasi pengurusan fiskal kerajaan atau sebaliknya.

“Kita tahu Khazanah jelas sekali dalam proses peralihan, termasuklah penentuan mandat baru untuknya. Tapi keuntungan Khazanah merudum disebabkan oleh kecairan pelaburan yang tidak kompetitif, pulangan dividen yang menurun daripada pelaburan-pelaburannya dan peruntukan rosot nilai yang ketara yang terpaksa dibuatnya.

“Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion untuk tahun 2018 berbanding keuntungan RM2.89 bilion pada tahun sebelumnya. Sebelum ini, hampir tidak pernah kedengaran Khazanah mencatat kerugian sementelah lagi rugi sehingga lebih RM6 bilion,” katanya.

Prestasi yang buruk itu katanya, pada dasarnya jelas berkait rapat dengan keadaan pasaran semasa yang agak murung dan prestasi kewangan banyak syarikat di Malaysia dan antarabangsa yang agak lembap.

Selain itu, mandat baru itu memerlukan penstrukturan semula dana Khazanah kepada dua, iaitu dana komersial dan strategik.

“Saya lihat ia kerana polisi-polisi yang ‘flip-flop’ (tidak tetap), pembatalan dan mewujudkan kembali projek-projek mega tertentu tanpa dilihat melalui proses penilaian dan pembuatan keputusan yang wajar dan telus.

“Ditambah lagi prestasi buruk oleh beberapa orang menteri yang Perdana Menteri sendiri tidak menyembunyikan kekecewaannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semua isu itu jelasnya, menyelubungi persekitaran ekonomi negara yang memberi pengaruh meluas kepada keyakinan dan sentimen pasaran yang mana Khazanah, menerima tempias daripadanya hingga melibatkan ‘impairments’ yang luar biasa terpaksa dibuat terhadap akaunnya.