Syarikat tempatan terajui industri daging halal di Asia Tengah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMENTERIAN Ekonomi dan Kewangan Republik Kyrgyz telah menggerakkan konsortium perunding yang terdiri daripada beberapa syarikat tempatan untuk membangunkan serta meneraju industri daging halal di Asia Tengah.

Menurut kenyataan kementerian itu pada Jumaat, antara syarikat tempatan yang terlibat ialah Kyrgyz-Malaysia Corporation (KMC) bersama firma guaman Malaysia, The Chambers of Shamsul Qamar (CSQlaw) dan syarikat perundingan halal serta Halnex Sdn Bhd (Halnex).

Kenyataan itu juga memberitahu, ia bertujuan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi membangunkan Taman Pemprosesan Daging Halal (HMP) yang pertama di Asia Tengah.

“Kajian kebolehlaksanaan yang dibiayai melalui bantuan teknikal daripada Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Islamic Corporation for Development of Financial Sector (ICD) bertujuan membuka peluang Republik Kyrgyz bertapak dalam industri daging halal.

“Memandangkan kebergantungannya yang tinggi kepada penternakan sebagai aktiviti ekonomi utama dan demografi Asia Tengah, Konsortium KMC-CSQlaw-HalNex terpilih selepas proses tender terbuka antarabangsa,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tender tersebut dijangka menyumbang kepada projek kepakaran teknikal yang membantu menambah baik dasar halal dan rangka kerja pengawalseliaan Kyrgyz serta mengukuhkan agensi kerajaan yang baru ditubuhkan untuk Industri Halal.

Jelasnya, Republik Kyrgyz mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan eksport produk daging halal yang bersih dan berkualiti dari segi ekologi ke negara Kesatuan Ekonomi Eurasia, Kesatuan Eropah dan negara Teluk serta China.

“Negara tersebut dilingkungi daratan dan bergunung-ganang yang meliputi kira-kira 192,000 kilometer persegi dan ketinggian purata ialah 2,750 meter di atas paras laut.

Artikel Berkaitan:

“Kira-kira 40 peratus dari jumlah tanah melebihi 3,000 meter di atas paras laut, tiga suku daripadanya berada di bawah salji dan ais tebal.

“Ia menjadikan ekosistem halalnya unik kerana tanah luas yang terdapat rumput segar dan air tawar sesuai untuk penternakan berskala industri,” menurut kenyataan itu.

Oleh itu, Kementerian Ekonomi dan Kewangan, Republik Kyrgyz optimis bahawa usaha bagi mempromosikan industri daging halal mereka kepada standard eksport melalui projek HMP boleh menjadi strategi pengubah keadaan yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara dan rakyatnya.

“Kejayaan projek HMP bakal mendorong lebih banyak penubuhan taman perindustrian di seluruh rantau Asia Tengah, termasuk Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan.

“Konsortium KMCCSQlaw-HalNex berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan dan membuka potensi penuh pasaran Halal di Asia Tengah.

“Memandangkan keakraban mereka dengan rantau ini (melalui KMC sebagai rakan kongsi tempatan, yang berpangkalan di Bishkek, Republik Kyrgyz sejak 2015; dan CSQlaw, yang mempunyai cawangan pejabat di Nur-Sultan, Kazakhstan sejak 2019),” kata kementerian itu.