Kerajaan, SPR diminta pertimbang tangguh PRN Melaka

Datuk Seri Mohammad Hasan pada sidang media.
Datuk Seri Mohammad Hasan pada sidang media.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mempertimbangkan cadangan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelaksanaan PRN hanya akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap gelombang baharu jangkitan Covid-19, seperti ketika PRN Sabah.

Menurutnya, jika ada undang-undang atau peruntukan tertentu yang boleh menangguhkan PRN, adalah lebih baik ia ditangguhkan.

"Keputusan sama ada PRN Melaka harus diadakan atau ditangguhkan, haruslah dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh pihak kerajaan dan SPR.

"Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka telah memaksa satu pilihan raya negeri perlu diadakan dalam masa 60 hari, sedangkan ramai yang gusar ia mencetuskan satu lagi gelombang kejangkitan Covid-19 seperti berlaku di Sabah tahun lepas.

“Seperti ada konsensus di kalangan pakar dan pengamal perubatan negara, bahawa PRN Melaka harus ditunda sehingga wabak ini benar-benar reda," katanya kepada pemberita selepas program penyampaian sumbangan kepada asnaf di Kampung Sega, Rantau dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata, walaupun kadar vaksinasi penuh untuk golongan dewasa telah hampir 90 peratus, namun kadar jangkitan masih boleh menaik dengan mendadak.

Katanya, rakyat Malaysia mungkin memerlukan masa untuk beralih kepada fasa endemik dan hidup dengan kehadiran virus ini.

“Namun terpulang kepada kerajaan memutuskan yang terbaik untuk rakyat Melaka dan Malaysia amnya. Adakah PRN itu penting atau kesihatan awam lebih penting," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad menegaskan, jika PRN terpaksa dilaksanakan, beliau mencadangkan supaya tiada kempen bersemuka sebaliknya hanya berkempen secara maya.

Tambahnya, tempoh membuang undi juga perlu dipanjangkan bagi membolehkan pihak SPR mengawal pergerakan pengundi.