400 penduduk Kampung Balat terima bekalan elektrik

Bung Moktar merasmikan Stesen Janakuasa Balat di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan
Bung Moktar merasmikan Stesen Janakuasa Balat di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan
A
A
A

KINABATANGAN - Kira-kira 400 penduduk Kampung Balat kini menarik nafas lega selepas Stesen Janakuasa Balat memberi beroperasi sepenuhnya dan memberi kemudahan elektrik 24 jam di kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) itu menamatkan penantian penduduk kampung yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini.

Menurut beliau, kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membekalkan elektrik menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

"Bekalan elektrik akan turut disalurkan ke beberapa kampung lain berdasarkan kapasiti yang tinggi iaitu 700 megawat.

"Penduduk Kampung Pinangah juga telah menikmati bekalan elektrik 24 jam pada bulan lalu dan beberapa kampung berhampiran akan dipastikan menikmati kemudahan yang sama dalam sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Janakuasa Balat di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, di sini, pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berharap, lebih banyak perkampungan di luar bandar yang masih belum menikmati bekalan elektrik dapat diberikan kemudahan itu.

"Saya juga berharap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat melaksanakan projek BELB yang telah dirancang.

"Difahamkan sebanyak RM120.5 juta peruntukan telah diberikan bagi melaksanakan projek BELB sambungan talian grid bagi tiga zon di Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan percaya inisiatif itu akan membantu meningkat taraf hidup rakyat luar bandar.

"Usaha ini juga akan menyaksikan pembangunan sosio ekonomi di kampung terlibat," katanya.