X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Cuti 92 anggota bomba dibeku hadapi musim tengkujuh

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu memeriksa kemudahan logistik yang akan digunakan bagi menyelamat mangsa banjir.
A
A

KUALA TERENGGANU - Cuti seramai 92 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu akan dibekukan sekiranya negeri ini berdepan dengan keadaan cuaca buruk sepanjang musim Monsun Timur Laut kali ini.

Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, ia sebagai persediaan untuk berdepan peralihan cuaca yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, pihak bomba kini bersiap siaga menghadapi perubahan cuaca sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Oktober hingga Mac tahun depan.

"Hanya 20 peratus anggota dibenarkan cuti dalam satu-satu masa bagi memastikan anggota petugas mencukupi namun jika keadaan menjadi kritikal, cuti akan dibekukan serta-merta.

"Pihak bomba juga memastikan peralatan logistik seperti bot, lori, kenderaan pacuan empat roda, jaket keselamatan, aspek pencahayaan serta pakaian pelindung diri (PPE) anggota keselamatan mencukupi dan dalam keadaan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Anggota BBP Kuala Terengganu bersiap siaga berdepan musim tengkujuh kali ini.
Anggota BBP Kuala Terengganu bersiap siaga berdepan musim tengkujuh kali ini.

Dalam pada itu, katanya, pihak bomba telah mengadakan beberapa siri latihan menyelamat serta ujian peralatan hidraulik.

"Latihan kemahiran pemanduan bot dan menyelamat mangsa di air telah diadakan di Pulau Warisan pada 24 hingga 26 September lalu.

"Selain itu kita turut melakukan ujian peralatan hidraulik bagi kes kemalangan seperti insiden pokok tumbang yang diperiksa setiap hari, " katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak bomba menekankan prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelamat mangsa banjir yang didapati positif Covid-19.

"Pihak bomba akan menggunakan PPE bagi menyelamatkan mangsa banjir positif Covid-19

"Kami juga membuat penjarakan dalam pengangkutan penyelamat seperti bot atau lori yang mana keutamaan akan diberikan iaitu satu keluarga satu kenderaan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!