Keputusan darurat di Melaka minggu depan

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan dijangka mengumumkan keputusan sama ada meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau menasihati Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mengisytiharkan darurat pada minggu depan.

Cadangan pengisytiharan darurat itu adalah bagi menghalang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka daripada diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sultan Nazrin akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu.

"Tadi kita telah mengadakan mesyuarat Kabinet dan ada membincangkan tentang situasi di Melaka dan kita belum membuat sebarang keputusan lagi.

"Saya difahamkan, Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, KKM dan SPR terlebih dahulu.

"Tunggu selepas perbincangan dengan Baginda, Kabinet akan mendapat keputusan pada minggu depan," katanya selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia bertempat di Auditorium Perdana Wisma Radio, Angkasapuri pada Jumaat.

Pelbagai pihak mencadangkan agar proklamasi darurat diisytiharkan di seluruh Melaka bertujuan untuk menangguhkan PRN, di sebalik kebimbangan terhadap jangkitan pandemik Covid-19 di negeri itu dan seluruh negara.

Di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, darurat boleh diisytihar bagi kawasan berkenaan untuk mengelak daripada penggunaan perlembagaan secara normal.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, krisis politik yang berlaku di Melaka susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebelum ini, Sulaiman menerima sokongan 17 ADUN (14 UMNO, dua Bersatu dan satu Bebas) berbanding 11 wakil PH daripada 28 kerusi dalam sidang DUN.

Sejumlah 15 sokongan diperlukan untuk majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.