Mayat penunggang motosikal ditemui terapung dalam parit

Lokasi penemuan mayat mangsa - Foto: JBPM Perak
Lokasi penemuan mayat mangsa - Foto: JBPM Perak
A
A
A

TAIPING - Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa kemalangan ditemui terapung dalam sebuah parit di Jalan Taiping-Selama berhampiran Masjid Mohd Ali Rouse, Kampung Ulu Sepetang di sini pada Jumaat.

Keadaan mangsa yang belum dikenalpasti identiti itu disedari orang awam sekitar jam 11.30 pagi, kira-kira tiga hari selepas kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik sebelum jatuh ke dalam parit ketika melalui Jalan Taiping-Selama pada Rabu lepas.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri dalam parit itu telah dihanyutkan sejauh hampir 40 meter dari lokasi asal kemalangan akibat hujan lebat.

"Tiada laporan awal diterima semasa kemalangan itu berlaku, sebaliknya maklumat mengenai insiden hanya diketahui selepas penemuan mayat mangsa.

"Polis sedang mendapatkan maklumat diri mangsa dan berusaha menjejak waris serta majikan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa turut ditemui di lokasi kemalangan dengan kesan lampu hadapan pecah, meter tertanggal dan lain-lain kerosakan.

Katanya, pemilik motosikal terbabit telah dikenal pasti dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk soal siasat.

Artikel Berkaitan:

"Punca kematian sebenar akan diperoleh sebaik bedah siasat dijalankan. Buat masa ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.