'Saya pulangkan kereta rasmi, keistimewaan jika yang lain buat'

NORHIZAM
NORHIZAM
A
A
A

MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee akan memulangkan kereta rasmi dan kunci Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri DUN (Japerun) itu sekiranya semua wakil rakyat negeri ini bertindak demikian.

Beliau yang juga bekas Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan mendakwa, secara dasarnya 28 wakil rakyat hilang kelayakan sebagai wakil rakyat atau Exco apabila kerajaan negeri dibubarkan Selasa.

Justeru katanya, semua keistimewaan termasuk kemudahan pejabat, kenderaan rasmi atau Kompleks Japerun perlu dikembalikan.

"Saya tidak berpuas hati apabila tiga Exco terlibat sahaja yang diarahkan memulangkan kemudahan itu sedangkan wakil rakyat lain masih bebas menggunakannya.

"Saya akan memulangkan semua keistimewaan itu selepas wakil rakyat serta Exco lain berbuat demikian," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di Bachang di sini pada Jumaat.

Norhizam juga berharap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dapat memberikan masa dan tarikh supaya kesemuanya dapat memulangkan segala aset itu secara serentak dan terhormat.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang makluman dari Istana Melaka mengenai kerajaan sementara.

Ujar Norhizam sewajarnya gabungan 15 bekas ADUN itu diberikan peluang membentuk kerajaan sementara kerana mereka lebih ramai.

Artikel Berkaitan:

"Mana lebih besar 13 wakil rakyat atau 15 wakil rakyat? Kita bimbang ada pihak yang akan mengambil kesempatan atau isu yang berlaku demi kepentingan individu sehingga boleh mencemarkan institusi istana.

"Oleh yang demikian, pihak istana dapat membuat keputusan yang bijaksana dalam isu krisis politik Melaka agar dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.

Tambahnya, ia penting memandangkan situasi semasa negara dan negeri Melaka sedang berjuang menentang pandemik Covid-19.

"Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa dan saya juga tidak tahu kenapa Datuk Seri Sulaiman Md Ali masih menjadi Ketua Menteri sedangkan tidak diumumkan beliau sebagai 'caretaker government'," katanya.