X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Mekanik tidak mengaku salah rompak bersenjata kedai emas

Mahkamah Kuala Lumpur
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan rompakan menggunakan kapak, tukul dan parang di kedai emas membabitkan kerugian RM600,000.

Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas, didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata ke atas pemilik kedai emas sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM600,000.

Kesalahan didakwa dilakukan di kedai emas tersebut di Wangsa Maju, pada jam 4.43 petang, 16 Mei lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberi jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan mereka diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mahyon membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000.

Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!