'Saya minta maaf, rakyat Melaka buatlah pilihan terbaik' - Sulaiman

Sulaiman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah di Batu Berendam di sini pada Jumaat.
Sulaiman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah di Batu Berendam di sini pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali reda dengan apa yang berlaku setelah hilang kepercayaan daripada rakan-rakan seperjuangan.

Beliau berkata, kemelut politik di Melaka dapat diselesaikan dengan memberi semula mandat kepada rakyat dan beliau memohon maaf kerana banyak perkara belum sempat dilakukannya untuk mereka.

"Saya akur dengan situasi politik yang tidak nampak titik penyelesaian ini biarpun surat permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam ketika masih memegang jawatan Ketua Menteri.

"Seelok-eloknya kita serahkan balik dan beri mandat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Batu Berendam di sini pada Jumaat.

Sulaiman turut menafikan segala dakwaan yang ditimbulkan berhubung pembuburan DUN dan menyerahkan kepada perundangan untuk menentukan segalanya.

Ditanya sama ada akan mengekalkan kerusi sedia ada, Sulaiman memberitahu, beliau menyerahkan kepada kepimpinan atasan untuk membuat keputusan.

Dalam pada itu, Sulaiman kelihatan sebak ketika memberi ucapan kepada jemaah di masjid berkenaan dan menganggap semua yang berlaku adalah ujian ALLAH SWT.

"Saya minta maaf. Banyak perkara belum dapat saya lakukan kepada rakyat Melaka. Rakyat buatlah pilihan yang terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan: