Jumlah positif Covid-19 hari ini 9,751 kes

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu turun sedikit kepada 9,751 kes berbanding 9,890 pada Khamis. Foto hiasan
Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu turun sedikit kepada 9,751 kes berbanding 9,890 pada Khamis. Foto hiasan
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan kepada 9,751 kes pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan pada Jumaat memaklumkan, daripada jumlah itu, terdapat 206 kes atau 2.1 peratus kategori tiga hingga lima.

Menurutnya, sebanyak 9,545 kes atau 97.9 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Selangor kembali mendahului negeri lain selepas dilaporkan sebanyak 1,796 kes diikuti Sarawak iaitu 1,339 dan Kelantan sebanyak 1,052," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, Johor mencatatkan sebanyak 864 kes, Sabah (705), Terengganu (650), Perak (643), Pulau Pinang (632), Kedah (578), Pahang (551), Kuala Lumpur (313), Negeri Sembilan (243), Melaka (244), Perlis (94), Putrajaya (45) dan Labuan (dua).

Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 ialah 2,323,478 kes.

"Sebanyak 792 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 386 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mencatat 12,724 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatifnya, 2,170,289 kes.

Sementara itu tambah beliau, 10 kluster baharu dikenalpasti membabitkan enam daripadanya kluster tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat juga dua kluster komuniti dan masing-masing satu kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi," katanya.

Ujarnya, jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan ialah 5,570 dan 4,696 diisytiharkan tamat manakala 874 kluster masih aktif.