COO Felcra tengking staff... ini jawapannya

Foto:Twitter Felcra Bhd
Foto:Twitter Felcra Bhd
A
A
A

VIRAL video memaparkan seorang lelaki dipercayai Ketua Pegawai Operasi (COO) di sebuah Felcra menengking staf bawahannya tular di media sosial sehingga menaikkan kemarahan orang ramai.

Susulan itu, Felcra Bhd berkongsi beberapa klip video dan gambar di Twitter rasmi sebagai respons kepada klip video yang turut memaparkan ketua pegawai operasi (COO) itu menengking pekerja yang tular di media sosial.

Salah satu klip video yang dikongsi Felcra memaparkan seorang kakitangan wanita yang dipercayai merupakan individu yang ditinggikan suara oleh COO Felcra, Khairi Makmur.

Wanita berkenaan berkata, 'tengking' sudah menjadi perkara lumrah bagi pekerja industri perladangan yang tidak perlu diperbesarkan.

"Sebenarnya, masa lawatan, dia jumpa buah muda lebih banyak daripada buah yang masak. Itu menjadi salah satu isu dalam keadaan sekarang, apabila buah muda lebih banyak daripada yang masak, itu merupakan kerugian.

"Itu saja sebenarnya. Bagi orang ladang, cara pengajaran (seperti itu), itu lah yang sepatutnya, bagi orang luar yang tak faham akan cakap macam-macam, berdasarkan (kerana) mereka tak ada di situ, dan cara COO cakap tu.

Foto:Twitter Felcra Bhd
Foto:Twitter Felcra Bhd

"Bagi kami, seperti (termasuk saya) perempuan, tak ada masalah pun untuk kena tengking dan sebagainya," kata wanita itu dalam klip video berdurasi 81 saat.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu juga menjelaskan bahawa, Khairi turut meninggikan suara kerana mandur yang ditanya tentang penggunaan semula beg baja tersilap menjawab soalan yang diajukan berkaitan dengan beg baja.

"Mandur itu mungkin cemas ke apa, jadi dia cakap dia bakar (beg baja)... Sedangkan beg baja itu boleh guna semula bukan bakar.

"Ia bukan isu besar. Orang nak perbesar-besarkan, pada kami tiada apa-apa masalahpun," katanya.

Video itu dimuat naik pagi Selasa, sehari selepas klip video kejadian berkenaan dimuat naik pengguna Twitter. @ladydarshankaur.

@ladydarshankaur memuat naik klip video itu dengan keterangan: "Akhlak seorang pemimpin yang baru 4 bulan dilantik menjadi Chief Operating Officer/Executive Officer Felcra Berhad. Inilah kualiti pemimpin lantikan Kerajaan Pakatan Harapan. Nilaikan sendiri."

Dalam klip video yang berlatarkan sebuah ladang sawit itu, Khairi dilihat menjelaskan tentang penggunaan semula beg baja, sebelum meninggikan suaranya.

"Kamu semua nak ambil jalan mudah! Semua nak ikut orang! Orang cakap apa, ikut saja! Tak pernah nak lawan! Terangkan, bukan duduk ofis!," kata Khairi dengan nada menengking.

Foto:Twitter Felcra Bhd
Foto:Twitter Felcra Bhd

Dalam kiriman Twitter lain, Felcra berkata kejadian itu berlaku dalam sesi latihan di ladang sempena Siri Kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang, 2 Mac lalu.

Felcra turut berkongsi klip video lain dan beberapa gambar memaparkan Khairi dalam pakaian sama menjelaskan sesuatu kepada pekerja menggunakan papan putih.

Klip video itu disertai keterangan: "Sisi sebenar COO dalam siri kembara sehari di FELCRA Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang, Sabtu lepas (2 mac 2019) Namun pada hari yang sama, satu slot video semasa sesi latihan di lapangan telah viral".

Felcra dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan ditubuhkan bagi membantu membangunkan kawasan pedalaman.

Mengulas klip video itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim, turut mempersoalkan sikap COO Felcra itu.

"Inikah cara seorang COO berinteraksi dengan orang-orang ladang di Sg Batu Pahang baru-baru ini? Memalukan bangsa.

"Lembaga Felcra wajar beri amaran keras supaya dia belajar berbudi bahasa. Atau beri notis yang cukup untuk berhenti," katanya melalui Twitter.