'Darurat jalan terbaik tangguh PRN Melaka'

Laporan Sinar Harian pada 5 Oktober. (Gambar kecil: Yussof Latiff)
Laporan Sinar Harian pada 5 Oktober. (Gambar kecil: Yussof Latiff)
A
A
A

GEORGETOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa agar menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Selasa.

Veteran politik, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, darurat adalah jalan terbaik untuk Melaka bagi menangguh Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga keadaan mengizinkan untuk mengadakannya.

Menurutnya lagi, dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, ia dilihat tidak sesuai untuk mengadakan PRN.

"Dalam keadaan kita berhadapan dengan Covid-19, ia tidak sesuai untuk calon dan parti politik berkempen selain orang ramai juga khuatir untuk keluar mengundi.

"Kerajaan juga diminta agar jangan mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan politik. Sememangnya langkah pembubaran DUN Melaka dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengatasi kemelut politik di negeri itu susulan berlaku 'lompat melompat' untuk menjatuhkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Yussof juga berkata, langkah pembubaran DUN itu dapat memberhentikan tindakan wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan menjadikan budaya lompat parti sebagai senjata atau ugutan terhadap sesebuah kerajaan.

"Kelantan pernah mengalami krisis kepimpinan antara pemimpin Pas, Datuk Mohd Asri dan Datuk Mohamed Nasir yang mengakibatkan berlakunya usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Mohamed Nasir.

"Pada 8 November 1977, Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Kelantan ketika itu mengisytiharkan darurat di Kelantan. Tempoh darurat selama lima bulan itu telah mengekalkan Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar tetapi dengan kuasa terhad kerana kuasa eksekutif tertinggi telah terletak pada Pengarah Pentadbiran Kerajaan mewakili Kerajaan Pusat yang dilantik oleh Perdana Menteri di bawah Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat Melaka boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh Kelantan pada waktu dahulu. Mungkin kita telah memberi peluang sekali sahaja kepada pembentukan kerajaan hasil tindakan lompat parti ini tetapi jika ia mahu dijadikan berulang kali maka eloklah DUN sesebuah negeri itu dibubarkan sahaja dan kuasa pemilihan dipulangkan kepada rakyat," katanya.

Katanya, budaya lompat parti sememangnya tidak sihat dalam politik dan kini Melaka telah membuktikan bahawa budaya itu dapat membunuh parti sendiri apabila dua wakil rakyat daripada UMNO dan seorang daripada Bersatu menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh parti mereka sendiri.

Pada Selasa, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka.

Pembubaran tersebut diumumkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang akhbar khas di Seri Negeri rentetan tindakan empat ADUN mewakili kerajaan negeri yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.