X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Skuad hoki remaja tempang ramai pemain cedera

Wallace
A
A

SKUAD Projek Khas Lelaki Kebangsaan menerima tamparan hebat apabila semakin ramai pemainnya dilaporkan mengalami kecederaan pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang sedang berlangsung ketika ini.

Pengendalinya, Wallace Tan yang bimbang dengan situasi semasa itu berkata, dua lagi pemain mengalami kecederaan ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Kelab Hampstead & Westminster pada aksi keempat siri jelajah berkenaan yang berlangsung di Kelab Rekreasi Paddington, pada Khamis.

Wallace berkata, keadaan bertambah buruk pada separuh masa kedua perlawanan sehingga beliau tidak dapat melakukan pertukaran pemain ekoran masalah kecederaan, seterusnya menjejaskan momentum anak buahnya dalam aksi berkenaan.

“Ini satu kerisauan bagi saya kerana ramai pemain yang mengalami kecederaan. Sebelum perlawanan hari ini, empat pemain tidak boleh bermain termasuk Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Saifuddin Azli, Muhammad Arif Shafie Ishak dan Muhammad Hafizi Zainuddin.

“Selepas tamat perlawanan, seorang dua lagi pemain mengalami kecederaan ekoran permainan agresif dan ia merisaukan saya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, Wallace berharap pemain yang terlibat dengan kecederaan akan segera pulih bagi membolehkan skuad remaja itu mempunyai jumlah pemain mencukupi untuk mengharungi aksi seterusnya.

Mengulas mengenai perlawanan pada Khamis, beliau menyifatkan kekalahan dialami pasukannya tidak menggambarkan prestasi sebenar barisan pemain muda negara dalam siri jelajah berkenaan.

Katanya, anak didiknya telah menunjukkan corak permainan yang cukup baik pada separuh masa pertama termasuk mengejutkan pasukan lawan terlebih dahulu menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Muhammad Fahmi Khalid seawal minit ketujuh.

Tersentak dengan jaringan dihasilkan pasukan Malaysia, Kelab Hampstead & Westminster mengejar kedudukan menerusi gol padang pada minit ke-12 untuk jaringan penyamaan sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti dan melengkapkan kemenangan menerusi gol ketiga berpunca daripada pukulan stroke, beberapa saat sebelum perlawanan tamat.

“Selepas gol penyamaan daripada gerakan padang, lawan tidak mempunyai peluang yang terbuka dan ia menunjukkan terdapat peningkatan dalam permainan. Kami perlu lebih konsisten tetapi untuk kekal konsisten, kami perlu mempunyai jumlah pemain yang mencukupi,” katanya.

Skuad remaja akan turun menentang pasukan B-23 Wales bagi aksi kelima yang akan berlangsung pada 1.30 pagi Ahad (10 Oktober) waktu Malaysia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!