X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Hentian kucing bakal diwujudkan di lokasi peranginan Kuantan

Ahli kelab SKJP sedang melabelkan kucing jantan jalanan yang berjaya ditangkap di lima lokasi di sekitar Bandaraya Kuantan.
A
A

KUANTAN- Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang ( SKJP) merancang untuk mewujudkan kawasan hentian untuk kucing bermula tahun hadapan.

Pengerusi Kelab SKJP, Jurina Abdul Radi berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah mengenalpasti beberapa kawasan peranginan di sekitar Bandaraya Kuantan.

"Kita rancang untuk mewujudkan hentian kucing ini di kawasan tumpuan seperti di Benteng berhampiran Tanjung Api, Taman Gelora, Pantai Teluk Cempedak dan Batu Hitam.

"Di kawasan itu nanti, kita rancang untuk bina kawasan berbumbung bagi membolehkan kucing makan dan minum, sekali gus tidak mencemarkan kawasan sekitar pusat peranginan di daerah ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program pemandulan 50 kucing jantan jalanan di Indera Mahkota pada Jumaat.

Program itu bermula pada Khamis dengan kerjasama Pasukan Tindakan Cemas Malaysia, Majlis Bandaraya Kuantan, dan Angkatan Pertahanan awam Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai program pemandulan kucing, Jurina berkata, inisiatif itu dilakukan bagi mengawal pembiakan kucing jalanan yang dilihat semakin bertambah.

Menurut beliau, pihaknya telah menangkap 50 ekor kucing di lima lokasi seperti di Jaya Gading, Taman Tas, Sungai Isap, Indera Mahkota dan Pasar Besar Kuantan bagi tujuan pemandulan ini.

"Usaha bagi mengesan kucing jalanan untuk dimandulkan telah disertai lebih 40 sukarelawan dan kos bagi proses pemandulan bagi 5o kucing dianggarkan sekitar RM3,500.

“Sumbangan itu, kita peroleh daripada rakan-rakan sosial media Facebook dan perkongsian makluman melalui aplikasi WhatsApp," ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Jurina memaklumkan, Kelab SKJP juga berjaya mengutip RM18,000 bagi menyelamatkan kucing jalanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tambah beliau, pihaknya bukan sahaja menyelamatkan kucing, bahkan mereka turut memberikan rawatan kepada kucing berpenyakit selain kucing terbuang.

“Kebanyakan ahli kita menjaga antara 25 hingga 100 ekor kucing di rumah mereka dan kos rawatan bagi merawat kucing sakit tidak murah," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!